Selasa, 23 November 2021 | 5:20pm
Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Setakat ini saya tidak dipanggil SPRM - Halimah

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengesahkan beliau tidak dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menegaskan siasatan yang dilakukan oleh SPRM ketika ini menjurus kepada dua bahagian iaitu membabitkan unsur jenayah dan cadangan kepada penambahbaikan prosedur serta sistem pemberian geran.

"Saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak dipanggil (oleh SPRM) dan untuk makluman, kefahaman saya dan pihak kementerian ialah untuk kami terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM untuk meneruskan siasatan.

"Sebab itu saya jemput SPRM masuk menjalankan siasatan bukan disebabkan perkara ini dibangkitkan Yang Berhormat semua. Kita minta SPRM masuk buat siasatan sebab kita telus dan terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab celahan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kenapa tidak diadakan siasatan dalaman bagi menyiasat dan meneliti penyelewengan membabitkan MITRA, Halimah berkata, perkara itu akan dilakukan selepas siasatan SPRM selesai.

"Apabila saya dilantik menerajui Kementerian Perpaduan Negara, saya mendapati perlunya kepada siasatan kerana kita mahu melihat sama ada dana itu dibelanjakan dengan baik atau sebaliknya.

"Ini termasuk bukan sahaja sewaktu MITRA di bawah Kementerian Perpaduan Negara malah ketika di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Beliau turut menegaskan, dakwaan kononnya kementeriannya berselindung di sebalik SPRM dan cuba menutup maklumat kepada umum adalah tidak tepat.

"Saya bukan berselindung di sebalik SPRM...kita terbuka malah menjemput SPRM masuk untuk siasat. Jadi, berilah ruang kepada SPRM menjalankan siasatan mereka," katanya.

Berita Harian X