Selasa, 23 November 2021 | 8:10am
Gambar hiasan - Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
Gambar hiasan - Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan

Wanita, ibu tunggal sokong sekat akaun suami culas

KUALA LUMPUR: Tindakan menyekat akaun bank suami atau bekas suami yang culas dalam pemberian nafkah disifatkan sebagai satu langkah baik tetapi perlu disusuli beberapa penambahbaikkan bagi memastikan nasib ibu tunggal dan anak-anak yang menjadi mangsa perceraian terbela.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS), Shiella Tukimin, berkata sebelum tindakan menyekat akaun bank mereka yang culas diambil, paling utama adalah memastikan suami membayar nafkah sebaik sahaja isteri memfailkan perceraian di mahkamah.

Beliau berkata, tempoh dua hingga tiga tahun pertama diperlukan seorang wanita yang diceraikan untuk bangkit termasuk dalam aspek kewangan, justeru memastikan bekas suami membayar nafkah sebaik perceraian difailkan adalah sangat penting.

"Saya sokong langkah menyekat akaun mereka yang culas dalam pemberian nafkah tetapi sebelum itu mahkamah perlu memastikan suami membayar nafkah sebaik perceraian difailkan dan bukan tunggu sehingga ia disahkan yang ada masanya mengambil masa beberapa tahun.

"Ibu tunggal terutamanya yang tidak bekerja sangat bergelut untuk membesarkan anak, malah ramai yang tertekan tambahan lagi dengan suasana pandemik pada masa ini.

"Memastikan bekas suami membayar nafkah sebaik kes perceraian difailkan dan kemudian menyekat akaun mereka jika culas, akan sangat membantu isteri yang diceraikan," katanya kepada BH.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), dalam kenyataan semalam, memaklumkan suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah akan berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Ia susulan pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 yang dilulus dan diwartakan pada 10 Februari lalu.

Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman kepada pihak ketiga, iaitu institusi kewangan kepada Pemiutang Penghakiman.

Menurut Ketua Pengarah JKSM yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Na'im Mokhtar, tindakan sekatan terhadap akaun itu dilaksanakan sehingga suami atau bekas suami penghutang penghakiman menyelesaikan hutang nafkah mereka.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Wanita Bumiputera, KL dan Selangor (PERNITA), Noor Harnani Buang, berkata pelaksanaan sekatan akaun sesuatu yang baik bagaimanapun ia perlu dilaksanakan dengan adil supaya tidak membebankan mana-mana pihak.

Katanya, semua pihak perlu saling bertimbang rasa termasuk mengambilkira kadar nafkah yang mampu diberikan oleh si suami berdasarkan pendapatan yang diperolehnya.

"Mereka yang bertanggungjawab perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan kesahihan tuntutan isteri untuk anak-anak terutamanya jika suami atau bekas suami berpendapatan kecil.

"Pada saya banyak aspek perlu dipertimbangkan terutamanya dalam keadaan pandemik yang memberi kesan kepada banyak pihak termasuk dalam kalangan suami dan bekas suami," katanya.

Berita Harian X