Sabtu, 20 November 2021 | 5:43pm

'Peluang anak Orang Asli ke menara gading semakin luas' - Ismail Sabri

BERA: Inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan Program Perkhidmatan Pengajian Universiti Malaysia Untuk Masyarakat (SULAM) membuka ruang kepada lebih ramai anak Orang Asli melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sebagai permulaan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang memperhalusi program laluan khas kemasukan pelajar Orang Asli ke UPNM yang dijangka dapat dilaksanakan tahun hadapan.

Beliau berkata, semua usaha pemerkasaan dan pembelaan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan impian menyaksikan lebih ramai generasi muda Orang Asli dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

"Komitmen kita adalah jelas seperti yang saya umumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan seterusnya pada (pembentangan) Bajet 2022.

"Usaha membela dan memperkasakan masyarakat Orang Asli akan diteruskan. Kita yakin, satu hari nanti, kita dapat melihat lebih ramai anak-anak Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Walkabout Perdana Menteri Bersempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan JAKOA di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah.

Pada majlis sama, JAKOA melalui skim bantuan galakan pendidikan (SBGP) menyerahkan sumbangan berjumlah RM90,840 kepada UPNM bagi menampung empat mahasiswa Orang Asli yang kini menyambung pelajaran di universiti berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya turut memberi jaminan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Katanya, pelbagai bantuan diperkenalkan sebelum ini dan dihentikan, akan diteruskan dan ditambah baik.

"Kita juga akan memastikan sasaran menghantar sekurang-kurangnya 10 mahasiswa Orang Asli melanjutkan pengajian ke luar negara melalui (pembiayaan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) diteruskan.

"Sekarang JAKOA kita letakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), untuk memudahkan proses (penyaluran) bantuan dan lebih fokus," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika hadir beramah mesra dengan komuniti Orang Asli sempena Program Khidmat Komuniti Bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bera, di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika hadir beramah mesra dengan komuniti Orang Asli sempena Program Khidmat Komuniti Bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bera, di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X