Sabtu, 20 November 2021 | 3:50pm

PKR elak bertembung sesama pembangkang pada PRN Sarawak

KUCHING: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tidak akan berlaku pertindihan calon membabitkan parti itu dengan parti pembangkang lain pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang dijangka bulan depan.

Beliau berkata, perbincangan sudah diadakan antara pimpinan parti itu di peringkat negeri dengan DAP dan kini usaha masih dijalankan untuk mencapai kesepakatan dengan parti pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

"Saya tak fikir akan berlaku pertindihan (calon parti pembangkang), namun kita (PKR) belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Jentera PRN-12 PKR di sini, hari ini.

Anwar berkata, pihaknya juga masih berbincang dengan PSB berhubung cadangan untuk bekerjasama bagi menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri itu nanti.

"Parti pembangkang harus bersatu padu untuk menghadapi pilihan raya ini dan bagi PKR, proses rundingan (berhubung kerjasama dengan PSB) itu berterusan.

"Sebagai parti baharu (PSB) harus membuat pertimbangan munasabah dalam menentukan kerusi yang akan mereka tandingi," katanya.

Pertindihan calon antara PKR dan DAP berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) 2016, apabila mereka bertembung di enam kawasan iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Susulan pertembungan dua parti pembangkang utama itu, semua calon masing-masing gagal menyaingi calon Barisan Nasional (BN) di enam kawasan terbabit.

Sementara itu, Anwar turut meluahkan kebimbangan akan berlaku lompat parti membabitkan wakil PKR yang tertarik dengan ganjaran ditawarkan pihak tertentu.

"Kadang-kadang kita sudah membuat tapisan dengan menggunakan nyiru yang cukup halus.

"Namun tarikan wang dan kedudukan memukau sehinggakan ada yang boleh memilih parti yang bertentangan dengan aspirasi rakyat yang akhirnya bukan sahaja mengkhianati parti tetapi juga rakyat yang mereka wakili," katanya.

Sejurus tamat majlis di Kuching, Anwar menaiki penerbangan ke Miri bagi menghadiri majlis sama di utara negeri itu.

 Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu media selepas Majlis Peluncuran Jentera PRN-12 PKR di Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu media selepas Majlis Peluncuran Jentera PRN-12 PKR di Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X