Sabtu, 20 November 2021 | 2:55pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berucap pada Program Prihatin Tabung Haji di Menara Tabung Haji, Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berucap pada Program Prihatin Tabung Haji di Menara Tabung Haji, Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA

Usah terpedaya penipuan tawaran giliran haji lebih awal

IPOH: Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji yang menawarkan giliran lebih awal untuk menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata setakat ini pihak Tabung Haji (TH) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penggiliran haji menerusi WhatsApp.

Beliau berkata jika aktiviti penipuan tidak dibanteras, ia dikhuatiri akan memperdayakan bakal jemaah dan pendeposit di TH yang pastinya akan membabitkan kerugian besar.

"Penipuan ini biasa, bukan TH sahaja terkena, ada yang libatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara kerajaan yang dapat pencen dan lain-lain. Seelok-eloknya kena dengar pengumuman rasmi TH (mengenai giliran menunaikan haji).

"Perkara ini membimbangkan bukan sahaja dari aspek pengoperasiaan tetapi juga untuk jemaah dan pendeposit. Kita selalu uar-uarkan perkara ini di semua platform iaitu kita tidak memberi tawaran badal haji dan tawaran haji kecuali melalui giliran seperti sebelum ini.

"Kalau ada yang kata masukkan duit, bagi nama, itu tidak betul. Panggilan tawaran haji biasanya kita buat disusuli dokumen, bukan melalui aplikasi WhatsApp," katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan zakat di bawah Program TH Prihatin 2021 Perak kepada peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terdapat ejen dilantik yang mengambil kesempatan dengan menawarkan perkhidmatan mempercepatkan giliran mengerjakan ibadah haji.

Idris berkata bakal jemaah dan pendeposit yang ada menerima mesej mengenai tawaran mengerjakan ibadah itu daripada aplikasi berkenaan diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa dan TH untuk tindakan seterusnya.

"Elok buat laporan supaya TH boleh kesan nombor telefon dan identiti (dalang penipuan)," katanya.

Laporan boleh dibuat dengan menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin menyifatkan isu itu sebagai membimbangkan.

"Bagi kita membimbangkan bukan saja daripada segi operasi tetapi kepada jemaah haji.

"Kita selalu uar-uarkan di media sosial dan aplikasi kita THiJARI, kita tidak ada tawaran badal haji dan badal haji itu kita buat giliran seperti mana yang kita buat dari sejak mula lagi.

"Jadi, kalau ada yang kata masukkan duit, bagi nama, itu tidak betul," katanya.

Berita Harian X