Selasa, 26 Oktober 2021 | 6:36pm

Azeez bercakap Tamil dengan gajah, Rayer diarah keluar dewan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diarahkan keluar Dewan Rakyat selepas beliau ingkar arahan untuk tidak mengganggu sesi perbahasan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengarahkan beliau keluar Dewan Rakyat selama 10 minit selepas enggan duduk dan berhenti mengganggu perbahasan Abdul Azeez apabila diminta berbuat demikian.

Abdul Azeez dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (PIndaan) 2021 menceritakan pengalamannya bercakap dengan seekor gajah yang mengganggu kawasan penduduk di Parlimennya.

Beliau menyatakan, diberitahu gajah memahami bahasa Tamil, Thai dan Myanmar menyebabkan beliau menggunakan bahasa Tamil untuk bercakap dengan gajah.

Dengan kebenaran Azhar, Abdul Azeez menunjukkan cara beliau bercakap Tamil dengan gajah berkenaan.

Tindakan Abdul Azeez itu kemudiannya mendapat bantahan Rayer yang mencelah mendakwa tindakan Abdul Azeez menghina bahasa Tamil.

Mencelah menggunakan peraturan mesyuarat, Rayer meminta Abdul Azeez menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

Namun, Abdul Azeez menyatakan beliau tidak menghina bahasa Tamil sebaliknya bercakap bahasa itu selepas mendapat kebenaran Speaker Dewan Rakyat.

Azhar kemudiannya menyatakan beliau tidak menerima bantahan Rayer dan mempertahankan tindakan Abdul Azeez bukan menghina bahasa Tamil.

Ingkar arahan Azhar, Rayer terus bangun dan mengganggu perbahasan walaupun Azhar lebih lima kali mengarahkan beliau duduk.

Ekoran keengganan Rayer untuk duduk menyebabkan Azhar mengarahkannya keluar Dewan Rakyat untuk tempoh 10 minit.

Terdahulu, Azhar menegur Rayer yang dilihat selalu marah-marah ketika membuat bantahan.

"Saya lihat YB macam kilang marah ...mudah marah," katanya.

Azhar menjelaskan Abdul Azeez tidak menghina bahasa Tamil dan apa yang dilakukan hanyalah sekadar menceritakan pengalaman.

"Saya sudah putuskan tidak meminta beliau (Abdul Azeez) duduk, rayuan YB (Rayer) tidak diterima," katanya.

Azhar mengarahkan bentara membawa Rayer keluar dan masa 10 minit dikira ketika Ahli Parlimen Jelutong itu keluar pintu Dewan Rakyat.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali Rayer diarah keluar Dewan Rakyat kerana beliau sering mengganggu perbahasan dan membantah arahan Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. - Foto Google
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. - Foto Google
Berita Harian X