Selasa, 26 Oktober 2021 | 3:04pm
Bekas ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan. - Foto fail NSTP/Syafeeq Ahmad
Bekas ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan. - Foto fail NSTP/Syafeeq Ahmad

Nor Azman dakwa pemimpin BN, PN tak pedulikannya

MELAKA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Melaka didakwa tidak prihatin terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menghadapi masalah amat serius ketika menghidap COVID-19, September lalu.

Beliau mendakwa hanya bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan EXCO Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman yang mengambil berat keadaannya ketika itu.

Azman dijangkiti virus COVID-19 mulai 13 September lalu sebelum menjalani kuarantin kendiri tetapi terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Melaka pada 22 September lalu selepas muntah dan pening.

Katanya, ketika itu oksigen dalam badannya turun hingga bawah 80 peratus dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Alhamdulillah, Allah panjangkan umur saya dan beri lagi peluang untuk saya bernafas sebelum dibenarkan keluar wad pada 28 September lalu.

"Tiada seorang pun pemimpin UMNO, BN dan PN yang menghubungi saya sama ada menelefon atau melalui aplikasi WhatsApp tetapi saya sanjung tinggi budi Idris dan Rahmad yang sentiasa menghubungi saya dan mengambil berat keadaan saya ketika itu," katanya hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, Nor Azman dan Idris serta dua lagi bekas ADUN, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan kerajaan BN/PN Melaka tumbang.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan tuduhan kononnya beliau meletak jawatan Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 2015 kononnya kerana tidak mendapat habuan daripada projek pembangunan di Jasin.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, faktor sebenar beliau meletak jawatan adalah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pegawai khas kepada seorang yang berjawatan tinggi di MBMB mengarahkan agar gerai peniaga Bumiputera di Bandar Hilir disita.

"Saya cuba menghalang gerai peniaga terbabit disita kerana mereka sudah lama berniaga di kawasan itu tetapi ketidakprihatinan segelintir orang atasan di MBMB menyebabkan peniaga terbabit tidak dapat berniaga di kawasan itu lagi," katanya.

Nor Azman juga mendakwa, beliau tidak pernah berkecil hati kerana tidak diberikan peluang melaksanakan projek pembangunan di Jasin.

Sebaliknya, beliau mendakwa, mampu memperoleh keuntungan daripada peniagaan minyak dan gas yang sudah diceburinya sejak 20 tahun lalu.

Sehubungan itu, Nor Azman meminta pihak yang menularkan pelbagai tuduhan terhadapnya supaya berhenti daripada membuat onar yang hanya akan membuatkan rakyat marah kepada pihak berkenaan.

Nor Azman sebelum ini dilaporkan akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pada PRU berkenaan, Nor Azman yang mewakili BN ketika itu menewaskan Juhari Osman (PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Idris (BN) menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi manakala Norhizam (DAP) mengalahkan Chua Lian Chye (BN) dan Ramli Dalip (PAS) dengan majoriti 2,756 undi.

Noor Effandi (BERSATU-PH) menewaskan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Fendi Ahmad (PKR) dangan majoriti 1,288 undi.

Berita Harian X