Sabtu, 23 Oktober 2021 | 4:45pm
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin. - NSTP/ARKIB
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin. - NSTP/ARKIB

Mursyidul Am PAS rayu UMNO, BERSATU usah gopoh buat keputusan

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin merayu pimpinan tertinggi UMNO dan BERSATU supaya tidak gopoh membuat keputusan mengenai kerjasama politik dalam mana-mana pilihan raya.

Pemimpin veteran PAS itu turut menasihati mereka supaya bertanya kepada 'dhomir' atau hati kecil masing-masing, sama ada penyatuan dan perpaduan ummah itu sesuatu yang baik atau tidak dan jika mereka menjawab secara jujur dan ikhlas, beliau yakin semua pihak tiada masalah untuk bekerjasama.

"Saya pernah berbincang walaupun bukan selalu dengan pimpinan UMNO dan BERSATU. Soalnya mereka yakin dan percaya bahawa perpaduan ini menguntungkan umat Islam dan orang Melayu. Kalau sudah yakin, kenapa masih sibuk dengan perkara yang bercanggah dengan keyakinan sendiri.

"Saya merayu pimpinan utama BERSATU dan juga UMNO, jangan kita buat keputusan gopoh, yang bercanggah dengan arahan 'dhomir' kita sendiri," katanya kepada BH, hari ini.

Hashim menjelaskan, sehingga hari ini beliau tiada sekelumit kekecewaan berhubung penyatuan dan perpaduan antara ketiga-tiga parti, UMNO, PAS dan BERSATU walaupun kenyatan-kenyataan dikeluarkan menggambarkan seolah-olah perkara itu tidak akan menjadi kenyataan.

"Islam ajar orang beriman supaya taat 'dhomir' sendiri, ertinya apa dibisik oleh hati kecil kepada seseorang dan dia pula yakin dengan akal bahawa benda itu elok, maka dia buat. Apabila dia buat, takdirnya apa yang dibuat berdasar petunjuk akal itu salah, dia masih dapat pahala. Dengan syarat mereka mentaati 'dhomir' itu," katanya.

Hashim tidak menolak kemungkinan kerjasama politik ketiga-tiga parti Melayu itu terlerai, namun PAS sentiasa bersiap sedia untuk mendepani apa juga yang berlaku kerana pendirian parti berkenaan mudah, iaitu memilih jalan paling kurang mudarat kepada umat Islam dan orang Melayu.

"Yakinlah bahawa perpecahan kita, ketidaksepaduan kita ini tidak menguntungkan sesiapapun, sebaliknya menguntungkan musuh politik," katanya meminta semua pihak mengambil pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam mana-mana pilihan raya kerana perkara itu sudah diputuskan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO.

Kerjasama UMNO dan PAS yang bersama dalam Muafakat Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga masih menjadi tanda tanya dan setakat ini, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek mengesahkan pihaknya masih menanti jemputan rasmi UMNO untuk berbincang.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PN akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, berkata rundingan, termasuk dengan PAS dan GERAKAN akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu.

Berita Harian X