Jumaat, 22 Oktober 2021 | 7:50pm
Veteran UMNO nasihat BN, PN dan PAS berunding hadapi PRN Melaka.
Veteran UMNO nasihat BN, PN dan PAS berunding hadapi PRN Melaka.

BN, PN perlu realisitik bertanding dalam PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bersikap realistik dengan hanya meletakkan calon di kerusi yang berpotensi untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, ini bagi mengelak pertembungan tiga penjuru, yang akan merugikan semua pihak.

Beliau juga mencadangkan supaya percaturan soal kerusi dibuat secara adil dengan mengambil kira pencapaian, rekod penyandang dan potensi kemenangan kepada setiap parti.

"Parti yang tiada akar umbi buat apa tanding kerusi banyak-banyak. Sama juga parti yang tidak pernah menang dan kalah dalam PRU lepas, buat apa tuntut kerusi banyak. Semua kena terima realiti dan kita mulakan perbincangan bagaimana untuk menang, bukan berebut kerusi.

"Contohnya, BERSATU sebelum ini menang dua kerusi, mungkin boleh dipertimbang bagi tambahan dua lagi kerusi kepada mereka, terutama di DUN yang sebelum ini dimenangi PKR.

"PAS pula tak pernah menang kerusi, boleh bagi (tanding) dua kerusi DUN yang Parti Amanah Negara (AMANAH) menang sebelum ini. Ini semua boleh disepakati," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerjasama antara BN dan PN yang sehingga kini masih belum dimeterai dalam PRN Melaka, ditambah kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, menegaskan UMNO tidak akan bekerjasama dengan BERSATU.

Sementara itu Othman berkata, kerusi dimenangi DAP boleh diberi kepada parti komponen lain dalam BN dan PN, khususnya membabitkan kerusi bukan Melayu.

"Kalau semua parti boleh ada prinsip yang jelas, fokus untuk menang dan bentuk kerajaan stabil, permuafakatan politik boleh dijayakan dengan cemerlang. Tapi kalau semua keras kepala, ego... yang akan rugi adalah kita sendiri," katanya.

Beliau mengakui, soal agihan kerusi adalah antara faktor sukarnya kerjasama dibentuk khususnya antara UMNO dan BERSATU dalam PRN akan datang, namun tidak semestinya tiada jalan langsung yang boleh dirintis untuk merungkaikan permasalahan berbangkit.

"Ini bukan soal ketetapan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) saja, itu masa PRU (Pilihan Raya Umum) nanti, ini PRN Melaka.

"Apa salah kita ketepikan dulu soal PRU dan tumpukan kepada PRN dengan meletakkan politik muafakat sebagai tunjangnya. Buang dulu ego pemimpin masing-masing, mari duduk berbincang," katanya.

Berita Harian X