Khamis, 21 Oktober 2021 | 5:51pm
Perdana Menteri membantu menolak kerusi roda Sabbaruddin ke kenderaannya selepas selesai sesi perbincangan dan makan malam. NSTP/FB Datuk Anuar Yunus
Perdana Menteri membantu menolak kerusi roda Sabbaruddin ke kenderaannya selepas selesai sesi perbincangan dan makan malam. NSTP/FB Datuk Anuar Yunus
Ismail Sabri menyantuni mentornya, Sabbaruddin dalam majlis makan malam semalam. NSTP/FB Datuk Anuar Yunus
Ismail Sabri menyantuni mentornya, Sabbaruddin dalam majlis makan malam semalam. NSTP/FB Datuk Anuar Yunus

Tersentuh jiwa tengok PM tolak kerusi roda bekas bos

KUALA LUMPUR: Meskipun sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat mencuri masa bertemu dan menyantuni bekas Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan yang juga mentornya, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Malah, detik pertemuan hampir dua jam itu lebih menyentuh jiwa apabila Perdana Menteri sendiri membantu menolak kerusi roda Sabbaruddin ke kenderaannya selepas selesai sesi perbincangan dan makan malam.

Beberapa keping foto yang menunjukkan kemesraan antara Perdana Menteri yang juga 'anak murid' kepada Sabbaruddin dikongsi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus di Facebook.

Anuar berkata, sikap Ismail Sabri yang merendah diri itu adalah detik cukup indah yang menunjukkan bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas ketuanya.

Katanya, layanan diberikan Perdana Menteri terhadap bekas ketuanya itu, mengingatkan beliau mengenai satu perkara iaitu 'apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia'.

"Terharu saya melihat bos saya, Datuk Seri Ismail Sabri menyantuni mentornya, Sabbaruddin dalam majlis makan malam semalam.

"Ia menunjukkan bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa mentornya," katanya di Facebook.

Sabbaruddin, 80, adalah sifu politik Perdana Menteri yang juga individu yang bertanggungjawab mengangkat Ismail Sabri ke dalam dunia politik.

Perdana Menteri dilantik sebagai Setiausaha Politik Sabbaruddin pada 1995 hingga 1999 iaitu ketika beliau menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan.

Pada masa sama, Anuar berkata, Perdana Menteri tidak melepaskan peluang berbincang mengenai senario politik terkini dalam kesempatan bertemu Sabbaruddin.

"Pada pertemuan hampir dua jam itu, mereka berbual pelbagai perkara. Sudah tentu mengenang kisah lama, cerita suka duka dan pahit manis dalam politik.

"Mereka turut berbincang mengenai senario politik terkini termasuk konsep Keluarga Malaysia yang dibawa dalam pentadbiran kerajaan hari ini," katanya.

Berita Harian X