Khamis, 21 Oktober 2021 | 3:27pm
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) semasa hadir pada majlis Makan Tengahari PN hari ini. - Foto BERNAMA
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) semasa hadir pada majlis Makan Tengahari PN hari ini. - Foto BERNAMA

PRN Melaka: PN sedia hadapi pertembungan tiga penjuru

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jika Barisan Nasional (BN) terus berdiam diri mengenai kemungkinan kerjasama antara dua parti berkenaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang pada PRN Melaka 20 November ini.

"Persoalan berbangkit adakah pihak sana bersedia (bekerjasama), Kita tidak dapat jawapan tegas dan jelas. Masa begitu singkat dan juga sudah diumumkan tarikh penamaan calon, pemilihan dan pengundian.

"Perkara ini pernah disuarakan Datuk Mohd Rafiq (Pengerusi PN Melaka) yang menyatakan di peringkat awal lebih seminggu lalu bahawa kami bersedia bekerjasama," katanya selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Muhyiddin juga berkata, jika tiada syarat jelas, maka PN ujarnya akan mengikut keputusan peringkat Pusat.

"Sebagai sebuah parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), bagi saya ini penting kita tidak boleh lengah, kalau tidak ada isyarat yang jelas kita akan ikut apa keputusan yang dibuat PN Kebangsaan," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kepemimpinan PN Melaka di Ayer Keroh, Muhyiddin berkata, gabungan parti itu tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan keputusan kerjasama politik daripada UMNO untuk menghadapi PRN Melaka.

Sebaliknya, beliau berkata, gabungan parti politik yang disertai BERSATU, PAS dan GERAKAN itu bersedia untuk bertanding bersendiri sekiranya UMNO dan BN tidak memberi kata putus mengenai perkara itu.

"Kita (PN) sedia bekerjasama, tetapi berapa lama kita mahu tunggu (jawapan UMNO), setahun atau seminggu? Kita kena atur strategi untuk menghadapi pilihan raya kerana Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR) dah umum tarikh penamaan calon dan mengundi.

"Masa sudah tak lama. Saya kira kalau pihak di sana (UMNO) setakat hari ini tidak ada menunjukkan apa-apa petanda untuk bekerjasama, berunding dan berbincang, saya hari ini boleh buat keputusan bahawa kita akan bertanding tiga penjuru dalam PRN Melaka," katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pendirian UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRN Melaka, 20 November ini akan dimuktamadkan sedikit masa lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak termasuk penganalisis politik untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menelah mengenai pendirian parti itu pada pilihan raya kelak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata beliau terpaksa membuat keputusan tepat untuk menghadapi PRN berkenaan kerana beberapa strategi, termasuk pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen PN akan dilakukan segera.

Katanya, jika UMNO tidak berminat atau lambat membuat keputusan untuk bekerjasama, ia dikhuatiri akan menjejaskan hasrat PN untuk mengatur langkah awal untuk berhadapan pilihan raya terbabit.

Berita Harian X