Rabu, 20 Oktober 2021 | 9:21pm
Mohamad Fakhrudin (tengah) memeriksa rekod vaksinasi di aplikasi MySejahtera pengguna lebuh raya di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Mohamad Fakhrudin (tengah) memeriksa rekod vaksinasi di aplikasi MySejahtera pengguna lebuh raya di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Polis 'gempur' Restoran Jejantas Sungai Buloh

PETALING JAYA: Jangan bimbang apabila anda diminta untuk menunjukkan rekod vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas, Sungai Buloh, di sini, ketika berhenti untuk berehat di lokasi itu.

Langkah itu dilakukan oleh Pasukan Pematuhan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, bagi memastikan semua pengguna lebuh raya yang berada di situ sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sejak 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata terdapat pegawai dan anggota berada di lokasi itu 24 jam sehari yang melakukan penugasan dan penguatkuasaan pematuhan SOP.

"Selain melakukan pemeriksaan pematuhan SOP, pihak kami juga turut melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap mana-mana individu yang belum lengkap vaksinasi, namun melakukan kesalahan rentas negeri.

"Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menemui sebarang kesalahan rentas negeri oleh individu yang belum lengkap vaksinasi," katanya selepas memeriksa pengguna lebuh raya yang berada di R&R Sungai Buloh, malam tadi.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya lebih memberi tumpuan terhadap premis seperti restoran dan kelab malam yang beroperasi di seluruh daerah Petaling Jaya.

"Fokus kita terhadap restoran dan kelab malam bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat ditetapkan iaitu beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dan sekiranya melanggar syarat, tindakan akan diambil termasuk menyarankan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya membatalkan lesen operasi.

"Banyak unsur negatif yang berkemungkinan boleh berlaku di kawasan restoran dan kelab malam dan oleh sebab itu, tumpuan pemeriksaan pematuhan lebih diberikan di premis-premis ini," katanya.

Terdapat tujuh pasukan pematuhan terdiri pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan tugas penguatkuasaan pada satu-satu masa di seluruh daerah Petaling Jaya.

Berita Harian X