Selasa, 19 Oktober 2021 | 2:07pm
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat (kanan) bersama kekasihnya, Jad Issa.
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat (kanan) bersama kekasihnya, Jad Issa.

Kekasih Sajat buat hal

KUALA LUMPUR: Kekasih kepada usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, dikesan cuba mencetuskan kontroversi terhadap seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jad Issa yang juga seorang warga Lubnan melalui akaun Instagram, Jadooss memuat naik gambar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, yang ditokok tambah dipercayai dengan niat mempersenda.

Pada gambar Abd Jalil yang dimuat naik menerusi InstaStory itu, diletakkan gambar topi berkipas pada kepala serta memakai kaca mata hitam selain ditambah gambar pizza pada tangan kanan dan gelas minuman di tangan kiri.

Tidak dapat dipastikan apakah niat sebenar Jad Issa memuat naik gambar Abd Jalil yang diubah suai sedemikian.

Namun, ia dipercayai ada kaitan dengan cubaan PDRM membawa pulang Nur Sajat ke negara ini, yang sebelum ini melarikan diri ke Thailand untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Abd Jalil sebelum ini beberapa kali memberi kenyataan berkaitan tindakan polis untuk membawa pulang Nur Sajat serta permohonan ekstradisi dikemukakan PDRM kepada pihak berkuasa Thailand.

Beliau turut mengesahkan Nur Sajat yang bersembunyi di Thailand ditahan pihak Imigresen negara itu pada 8 September lalu kerana memiliki pasport tidak sah.

Ia selepas semakan pihak Imigresen Thailand mengesahkan Nur Sajat adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia selain pasport usahawan kosmetik itu sudah dibatalkan kerajaan Malaysia.

Abd Jalil turut memaklumkan, usahawan kontroversi itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Thailand keesokannya atas kesalahan Imigresen dan dikenakan hukuman denda sebelum dibebaskan.

Terbaharu, Nur Sajat menerusi media sosial memaklumkan sudah berhijrah ke Australia untuk mendapatkan perlindungan status pelarian menggunakan kad Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) yang dimilikinya.

Sementara itu, Abd Jalil yang dihubungi BH, hari ini beranggapan tindakan Jad Issa itu sebagai perkara lumrah yang dihadapinya sepanjang bertugas sebagai pegawai polis.

"Pada pandangan saya, ini semua asam garam dalam penugasan harian sebagai pegawai polis.

"Saya dan anggota lain dalam PDRM akan tabah menghadapi ujian ini dan akan melaksanakan penugasan berdasarkan undang-undang negara," katanya.

Berita Harian X