Ahad, 17 Oktober 2021 | 12:52pm
Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat (kanan) meninjau lubang lombong bertanda ‘X’,
Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat (kanan) meninjau lubang lombong bertanda ‘X’,

Lombong emas haram di Lahad Datu ragut empat nyawa

LAHAD DATU: Sekurang-kurangnya empat nyawa terkorban akibat melombong emas secara haram di Sungai Bole, Hutan Simpan Ulu Segama Malua dekat Lembah Danum, di sini yang berjaya dibongkar dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), baru-baru ini.

Pelombong emas dikatakan hanyut dibuai keuntungan kerana ada antara mereka boleh mendapatkan sehingga empat kilogram emas walaupun terpaksa tinggal berbulan-bulan di hutan tebal berkenaan. Akibatnya, difahamkan dua nyawa bersemadi dalam lubang terowong emas berkenaan.

Timbalan Komander, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat, berkata berdasarkan maklumat bekas pelombong yang ditemui sebelum ini, ada dua kejadian lombong berkenaan runtuh yang menyebabkan pelombong bertugas menggali dan mengambil tanah bersalut emas terperangkap.

Antara lubang lombong emas yang ditemui di Sungai Bole hasil Operasi Bersepadu Khazanah oleh PGA, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar (WWF) pada 21 Ogos lalu. - NTSP/HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Antara lubang lombong emas yang ditemui di Sungai Bole hasil Operasi Bersepadu Khazanah oleh PGA, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar (WWF) pada 21 Ogos lalu. - NTSP/HAZSYAH ABDUL RAHMAN

"Pelombong berkenaan dilaporkan tertimbus dan mati dalam lubang lombong terbabit. Apa yang kami difahamkan, menjadi adat pelombong tidak membongkar atau mengeluarkan mangsa yang tertimbus kerana itu kepercayaan mereka.

"Sebagai tanda ada pelombong maut di sesuatu lombong, mereka akan letakkan tanda 'X' menggunakan kayu di luar pintu masuk lubang lombong berkenaan," katanya sambil menambah, kematian ketiga pula dikatakan kerana pergaduhan.

"Terdapat satu kematian disebabkan perbalahan sesama pelombong, dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pembahagian tugasan. Ada pelombong marah dengan rakan bekerja di bahagian yang mudah mengambil emas secara diam-diam lalu timbul rasa tidak puas hati antara mereka sehingga bergaduh dalam terowong.

"Seorang kemudian terbunuh dan jasadnya juga dikatakan dibiarkan di lombong berkenaan. Kematian keempat pula kerana malaria apabila pelombong terbabit tidak sempat dibawa keluar dari kawasan berkenaan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Lubang lombong emas bertanda ‘X’, tanda ada pelombong maut. - NSTP/HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Lubang lombong emas bertanda ‘X’, tanda ada pelombong maut. - NSTP/HAZSYAH ABDUL RAHMAN

Justeru itu, beliau berharap dengan penemuan lokasi lombong berkenaan, ia dapat menghentikan kejadian tidak diingini di kawasan berkenaan, sekali gus menghentikan aktiviti mengaut khazanah negara secara haram.

Aktiviti melombong emas secara haram sejak 1990-an itu terbongkar berikutan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole hasil Operasi Bersepadu Khazanah oleh PGA, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar (WWF) pada 21 Ogos lalu.

Berita Harian X