Jumaat, 15 Oktober 2021 | 1:19pm

5,410 dos penggalak untuk barisan hadapan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberikan sejumlah 5,410 dos penggalak vaksin COVID-19 kepada kumpulan sasar, setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan dos penggalak itu yang mula diagihkan Rabu lalu, kebanyakannya disuntik kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

"Setakat semalam, 5,410 dos penggalak sudah diberikan, dengan rata-rata penerimanya adalah petugas barisan hadapan kesihatan.

"Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik swasta berhampiran tidak lama lagi," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Rabu lalu, Khairy memaklumkan dos penggalak vaksin COVID-19 mula diberikan kepada kelompok penerima pertama secara percuma dan sukarela.

Ia membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang sudah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Dos penggalak diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap, namun perlindungan itu menyusut dari semasa ke semasa.

Individu yang layak akan dimaklumkan melalui MySejahtera, manakala individu tanpa aplikasi itu bakal diberitahu melalui khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pemberian vaksin dalam kalangan petugas barisan hadapan dan warga emas akan dilaksanakan oleh klinik swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, manakala kemudahan kesihatan kerajaan memberikan suntikan pelalian kepada anggota kesihatan masing-masing.

Petugas kesihatan swasta pula boleh mendapatkan dos penggalak daripada kemudahan kesihatan masing-masing, bergantung kepada persetujuan jabatan kesihatan negeri.

Kemudahan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula digunakan untuk pemberian suntikan vaksin kepada anggota barisan hadapan ATM.

Berita Harian X