Rabu, 13 Oktober 2021 | 6:32pm
FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Malaysia gesa Sudan hormati perjanjian pelaburan

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Sudan menghormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala yang berkuat kuasa antara kedua-dua negara.

Ia susulan hasrat kerajaan peralihan Sudan untuk merampas tanah yang menempatkan Kompleks PETRONAS di Khartoum, yang didakwa diperoleh secara tidak sah.

Menurut Kementerian Luar Negeri, Malaysia amat khuatir dengan isu tercetus sejak Disember tahun lalu itu, justeru gus bekerjasama rapat dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), termasuk melalui Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, untuk menanganinya.

"Setakat ini, kementerian melaksanakan beberapa usaha diplomatik, termasuk memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur buat kali kedua ke Wisma Putra, pagi tadi, bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia.

"Walaupun proses timbang tara yang diaktifkan PETRONAS sudah bermula, kementerian berharap isu ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat, demi memelihara hubungan akrab sedia terjalin antara Malaysia dengan Sudan.

"Kementerian akan terus memantau rapat perkembangan isu ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, sebuah media melaporkan kerajaan peralihan Sudan berhasrat merampas aset milik PETRONAS yang didakwa diperoleh secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin, Omar al-Bashir.

Susulan penggulingan al-Bashir, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang dan membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Antirasuah dan Pengambilan Semula Wang yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset yang didakwa diperoleh secara tidak sah bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

PETRONAS bagaimanapun mendakwa hak milik tanah berkenaan diperoleh secara sah mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Syarikat minyak dan gas nasional itu berkata, berikutan tiada sebarang perkembangan positif, pihaknya memfailkan permohonan timbang tara di Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri menggesa Sudan menghormati status Kedutaan Besar Malaysia yang turut berada di Kompleks PETRONAS itu, sebagai sebuah entiti diplomatik, seperti yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

"Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Sudan dan berdaftar dengan Kedutaan Besar kita, berada dalam keadaan selamat," katanya.

Berita Harian X