Rabu, 13 Oktober 2021 | 2:54pm

PDOC ambil tindakan undang-undang batal waran tangkap

KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Sudan, PetroDar Operating Company (PDOC), sedang mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan waran tangkap didakwa salah yang dikeluarkan negara itu ke atas bekas pegawainya.

PETRONAS dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan waran tangkap itu adalah berhubung dakwaan kesatuan sekerja terhadap PDOC.

PETRONAS menegaskan, perkara itu tiada kaitan dengan proses undang-undang sedang berjalan bagi menuntut semula hak PETRONAS ke atas tanah dan Kompleks PETRONAS di Khartoum, yang mana permohonan untuk timbang tara sudah difailkan syarikat itu di Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian (ICSID).

"Peguam luar PDOC sedang dalam proses membatalkan waran tangkap itu.

"Susulan proses undang-undang sudah dimulakan, PETRONAS tidak dapat memberi maklumat lebih lanjut mengenai kedua-dua perkara berkenaan," katanya.

Sebelum ini, sebuah media yang memetik sumber melaporkan, kerajaan sementara Sudan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus negara PETRONAS, berikutan ketegangan yang semakin meningkat antara Malaysia dan Sudan, selepas tindakan Sudan merampas aset PETRONAS di negara Afrika itu.

Sumber itu dilaporkan berkata, tindakan terhadap syarikat minyak Malaysia dan pelabur asing lain yang didakwa kerana rasuah itu, akan memberi kesan negatif terhadap hubungan dua hala antara Sudan dan negara lain pada masa hadapan.

Disebabkan Sudan tetap dengan dakwaan itu, sumber itu berkata, PETRONAS ketandusan semua saluran diplomatik untuk menyelesaikan isu itu dengan cara baik.

Berita Harian X