Isnin, 11 Oktober 2021 | 7:18pm
PKPD akan dilaksanakan di FELDA Lembah Klau, Mukim Gali di Raub, Pahang mulai esok. - Foto hiasan NSTP
PKPD akan dilaksanakan di FELDA Lembah Klau, Mukim Gali di Raub, Pahang mulai esok. - Foto hiasan NSTP

FELDA Lembah Klau kena PKPD

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di FELDA Lembah Klau, Mukim Gali di Raub, Pahang bermula esok.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di lokaliti terbabit akan dikuatkuasakan selama dua minggu hingga 25 Oktober ini.

"Keputusan pelaksanaan PKPD dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di FELDA itu.

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya PKPD di empat kampung Orang Asli di Kinta, Perak yang dikuatkuasakan sejak 29 September lalu akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

"Penamatan PKPD membabitkan empat kampung di Perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan iaitu Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah.

"Selain itu, PKPD Kampung Bukit Serdang di Bera, Pahang, yang sepatutnya tamat Khamis ini, akan ditamatkan esok iaitu dua hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan," katanya.

Berita Harian X