Isnin, 11 Oktober 2021 | 1:45pm
2 kontraktor sebabkan kemalangan maut di Lebuhraya SUKE berhampiran Alam Damai pada 22 Mac lalu didapati salah dan didenda RM300,000. - Foto fail NSTP
2 kontraktor sebabkan kemalangan maut di Lebuhraya SUKE berhampiran Alam Damai pada 22 Mac lalu didapati salah dan didenda RM300,000. - Foto fail NSTP

CIDB denda dua kontraktor SUKE

PUTRAJAYA: Dua kontraktor yang terbabit dengan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenakan penalti RM300,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak bina sehingga mengakibatkan kemalangan maut pada 22 Mac lalu.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid, berkata denda berkenaan dikenakan selepas prosiding tindakan tatatertib kontraktor diadakan pada 20 September lalu, selesai.

"Menerusi prosiding yang diadakan itu ia memutuskan bahawa kontraktor utama untuk Pakej CA3, jajaran CH4200 hingga CH7800 Projek SUKE iaitu Syarikat Muhibah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd dikenakan penalti sebanyak RM100,000.

"Sementara itu, subkontraktor untuk projek sama, China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd pula dikenakan penalti RM200,000. Kedua-dua kontraktor berkenaan didapati bersalah mengikut Seksyen 34B(1)(b), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) yang memperuntukkan setiap kontraktor perlu memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

"Sekiranya kontraktor gagal memastikan keselamatan, CIDB boleh mengenakan penalti yang tidak melebihi RM500,000 ke atas kontraktor terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

2 kontraktor sebabkan kemalangan maut di Lebuhraya SUKE berhampiran Alam Damai pada 22 Mac lalu didapati salah dan didenda RM300,000. - Foto fail NSTP
2 kontraktor sebabkan kemalangan maut di Lebuhraya SUKE berhampiran Alam Damai pada 22 Mac lalu didapati salah dan didenda RM300,000. - Foto fail NSTP

Media sebelum ini melaporkan tiga maut dan seorang cedera selepas struktur kren gantri di tapak projek pembinaan SUKE, pakej CA3 terjatuh dan menghempap sebuah kereta di Alam Damai, Cheras, kira-kira jam 8.30 pagi, 22 Mac lalu.

Insiden berkenaan membabitkan empat mangsa yang terdiri daripada tiga pekerja projek itu dan seorang awam. Struktur kren gantri itu jatuh dan menghempap sebuah kereta Perodua Bezza menyebabkan pemandu seorang warga tempatan parah.

Dalam pada itu, Ahmad 'Asri berkata bagi menjamin keselamatan awam dan langkah-langkah kerja bagi projek SUKE, pihaknya menyarankan supaya kontraktor terbabit melakukan audit keselamatan oleh pihak ketiga terhadap keselamatan projek, cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak bina.

Ahmad 'Asri turut memaklumkan pada November tahun lalu pihaknya turut mengenakan penalti RM180,000 kepada dua kontraktor yang terbabit dengan pembinaan pakej CA2, SUKE susulan kejadian bongkah konkrit terjatuh dari struktur pembinaan lebuh raya itu dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September 2020.

"Dalam kes itu, kontraktor utama dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor pula dikenakan penalti RM100,000. CIDB memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di sektor pembinaan dan mengingatkan penggiat industri untuk sentiasa komited serta meningkatkan tahap keselamatan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan.

Berita Harian X