Ahad, 10 Oktober 2021 | 10:42pm
Sekatan jalan raya ditamatkan tengah malam ini. Foto fail NSTP
Sekatan jalan raya ditamatkan tengah malam ini. Foto fail NSTP

Terima kasih petugas sekatan jalan raya - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang terbabit dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu bagi membendung wabak COVID-19.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan itu berikutan penamatan SJR di sempadan negeri selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri yang bermula tengah malam ini.

"Mungkin nampak mudah di mata kita, tetapi hanya yang cekal dan kuat semangat mampu bertugas siang malam di pelbagai lokasi SJR.

"Terima kasih anggota pasukan keselamatan yang terbabit. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Hishammuddin berkata, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini, SJR untuk menjaga keselamatan negara akan terus dilakukan.

Hari ini, kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Polis Diraja Malaysia akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan SJR di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.– BERNAMA

TAG: rentas negeri, polis, sekatan jalan raya, terima kasih

Berita Harian X