Isnin, 4 Oktober 2021 | 5:54pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Kampung Pasir Kelang Kelantan kena PKPD lusa

PUTRAJAYA: Sebahagian Kampung Pasir Kelang di Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPd) bermula Rabu ini hingga 19 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, dalam satu kenyataan media, berkata tindakan itu diambil selepas meneliti penilaian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

"Prosedur operasi standard PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

"PKPD turut dilanjutkan di kawasan Ladang dan Kilang Sawit RMDC Sdn Bhd, di Bukit Koman, Mukim Gali, Pahang bermula dari Rabu ini hingga 19 Oktober," katanya hari ini.

Pada masa sama, Rodzi mengumumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Pahang.

Beliau berkata, PKPD di Kampung Garib, Matunggong di Kudat, Sabah yang bermula pada 22 September lalu, ditamatkan esok, seperti yang dijadualkan.

Begitu juga PKPD di Kampung Dusun Pak Senam di Mukim Ulu Jelai, Lipis Pahang yang bermula 8 Septemebr lalu yang ditamatkan mengikut jadual, esok.

Katanya, PKPD di tiga Rancangan FELDA di Bera, Pahang iaitu FELDA Rentam, FELDA Tementi dan FELDA Sebertak yang bermula pada 29 September juga ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 12 Oktober ini.

Berita Harian X