Ahad, 26 September 2021 | 1:38pm

RMKe-12 menyeluruh, pacu pemulihan negara

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan dibentangkan esok bakal menjadi pemangkin pemulihan negara pasca COVID-19. Rancangan pembangunan lima tahun negara ini bakal diselaraskan Belanjawan 2022 dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, dijangka meningkatkan ketahanan dan kemampuan negara bangkit kembali.

Ikuti wawancara wartawan BH, Mohd Zaky Zainuddin, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

Soalan (S): Bagaimana Datuk Seri melihat RMKe-12 mampu menjadi pemangkin pemulihan ekonomi dan pembangunan negara pasca COVID-19?

Jawapan (J): RMKe-12 ialah pelan jangka sederhana untuk negara. Ia mengambil masa lima tahun untuk dilaksanakan. Impaknya tidak dapat dilihat dalam masa setahun dua ini.

Bagi menangani impak jangka pendek pandemik COVID-19, kerajaan melaksanakan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bernilai RM530 bilion dan Belanjawan 2021 (RM322 bilion). Kedua-duanya berjaya menstabilkan ekonomi negara dan menyediakan asas untuk pemulihan ekonomi.

Kita semua melihat pandemik ini memberikan impak serius kepada ekonomi negara. Namun, ia juga memberi peluang kepada kita untuk menyusun semula struktur ekonomi agar berdaya tahan dan kalis cabaran.

Di bawah RMKe-12, beberapa pembaharuan diperkenalkan bagi meningkatkan ketahanan dan kemampuan kita.

S: Apakah perkara paling dominan diketengahkan?

J: Sebanyak 14 pemacu perubahan meliputi hampir kesemua sektor, termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pertanian serta beberapa enabler akan dilaksanakan. Ini akan membawa pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi berbanding dalam tempoh RMKe-11.

Tumpuan juga akan diberi untuk memperkukuhkan Keluarga Malaysia melalui perlindungan sosial lebih baik.

Projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Central Spine Road (CSR) dan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) akan diteruskan. Projek jangka panjang ini akan memberi impak besar kepada pembangunan negara. Bagi tahun ini dan tahun depan, tidak ada projek mega kerana tumpuan adalah untuk kebajikan rakyat, memulih dan membina kembali ekonomi negara.

Insya-Allah bermula 2023, apabila ekonomi pulih sepenuhnya dan kutipan hasil dijangka bertambah, kita berharap dapat meningkatkan peruntukan pembangunan.

Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasakan. Kita akan mewujudkan ekosistem ekonomi digital kondusif untuk menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang kerja.

S: Bagaimanakah RMKe-12 diselaraskan dengan Belanjawan 2022 dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 selepas berlakunya perubahan dalam pelbagai aspek ketika pandemik?

J: Sejak merdeka, negara dipacu perancangan teliti melalui pelan jangka panjang, sederhana dan pendek. Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) bermula pada 1956. Contohnya dalam RMKe-2 1971-1975, kita mula melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk tempoh 20 tahun.

RMKe-12 dan RMKe-13 berasaskan WKB 2030, iaitu untuk mencapai kemakmuran, merapatkan jurang pembangunan dan akhirnya membina negara lebih bersatu padu. Dalam menyediakan RMKe-12, kita banyak berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan RMLT ini dan Belanjawan 2022 sejajar serta disesuaikan dengan Keluarga Malaysia.

RMKe-12 dijajarkan WKB 2030 dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan. Ia sebahagian Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah pendekatan 6R, iaitu Resolve, Resilient, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform. Reform merujuk transformasi dilaksanakan di bawah RMKe-12.

S: Ramai melihat RMKe-12 menjadi pelan pembangunan serba mencabar pasca pandemik, bagaimana kerajaan menggarap pelan itu supaya bersesuaian dengan persekitaran semasa?

J: Kita menghadapi cabaran hebat akibat krisis kesihatan dan ekonomi dihadapi hari ini. Tiada siapa dapat meramalkan masa depan kerana persekitaran dunia semakin dinamik.

Kita harap dengan langkah diambil semasa RMKe-12, Malaysia akan lebih mampu menangani krisis besar seperti ini pada masa akan datang.

S: Adakah Datuk Seri menjangkakan pembentangan dan kelulusan RMKe-12 lancar dan mudah berdasarkan perkembangan semasa politik negara?

J: Alhamdulillah, suhu politik negara reda sedikit. Sejarah tercipta apabila kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik. Ini membuktikan jiwa besar orang politik untuk bersama-sama membina negara.

Insya-Allah, perbahasan RMKe-12 akan berjalan lancar di Dewan Rakyat nanti. Sudah pasti ada banyak kritikan, tetapi saya rasa ia disampaikan dengan tertib dan berhemah. Kita bersedia menerima kritikan membina daripada kerajaan dan pembangkang.

RMKe-12 bakal diselaraskan Belanjawan 2022 dan WKB 2030 dijangka meningkatkan ketahanan dan kemampuan negara bangkit kembali. - Foto NSTP
RMKe-12 bakal diselaraskan Belanjawan 2022 dan WKB 2030 dijangka meningkatkan ketahanan dan kemampuan negara bangkit kembali. - Foto NSTP

S: Berapa lamakah input RMKe-12 ini dapat dihasilkan sebelum dibentangkan esok? Mengapa ia tertangguh? Adakah disebabkan pergolakan politik atau pandemik atau penambahbaikan mengikut kesesuaian persekitaran krisis semasa?

J: Proses untuk RMLT ini bermula pada April 2019. Bermula tarikh itu, kita mengadakan sesi libat urus dengan agensi, pakar tempatan dan antarabangsa, pemimpin industri, kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri juga mengadakan dua kali sesi libat urus dalam talian bagi mendapatkan maklum balas orang awam.

Pembentangan RMKe-12 ditunda empat kali. Faktor utama ialah pandemik memberikan kesan kepada ekonomi negara. Banyak andaian dan ramalan kita tersasar. Justeru, kita melakukan penambahbaikan berdasarkan persekitaran krisis ekonomi domestik dan global yang banyak berubah.

S: Menerusi RMKe-12, apakah langkah kerajaan memastikan pelaksanaan lebih berkesan berbanding rancangan Malaysia sebelum ini?

J: Hasil pelaksanaan mantap ialah kunci kejayaan RMKe-12. Kita akan membangunkan sistem pemantauan khusus untuk RMKe-12. Kita juga ada menyediakan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) yang dalam pelan itu dinyatakan dengan jelas agensi peneraju dan pelaksana bagi semua inisiatif akan dilaksana.

Setiap agensi ditetapkan sasaran dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu dicapai. Hasil pemantauan pelaksanaan akan dibentangkan pada mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian, seterusnya di mesyuarat Jemaah Menteri.

S: Apakah istimewa RMKe-12. Bagaimana jika ia tiada?

J: RMKe-12 istimewa kerana memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai beberapa kelemahan kita hadapi bagi mewujudkan struktur ekonomi lebih kukuh, berdaya saing dan kalis krisis. Ia akan merealisasikan pembaharuan struktur bagi meletakkan asas pertumbuhan ekonomi mampan pasca COVID-19.

Pendekatan baharu diambil dalam merapatkan jurang antara wilayah, pembasmian kemiskinan, penerimagunaan teknologi dan jaminan sekuriti makanan untuk membina Keluarga Malaysia makmur, inklusif dan mampan.

Selain itu, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak diberikan perhatian bagi menambah baik penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan asas untuk menyokong pertumbuhan ekonomi lebih pantas.

S: Impak pandemik kepada ekonomi negara cukup besar apabila 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40. Apakah langkah dilaksanakan di bawah RMKe-12?

J: Alhamdulillah, ekonomi kita beransur-ansur pulih apabila semakin banyak negeri Fasa Satu beralih ke Fasa Dua dan Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Lebih banyak sektor ekonomi dibuka akan membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Apabila sempadan antarabangsa dibuka, kita akan menikmati pemulihan lebih kukuh.

RMKe-12 akan memacu pertumbuhan ekonomi dengan membina masyarakat inklusif dan pembangunan lebih seimbang selaras prinsip Keluarga Malaysia. Ia juga mengambil kira keperluan menjaga alam sekitar, perubahan iklim dan membina negara mampan.

Berita Harian X