Sabtu, 25 September 2021 | 10:46pm
Pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan tampil membuat siasatan terhadap air merah yang mengalir di tanah perkuburan Islam Senawang.
Pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan tampil membuat siasatan terhadap air merah yang mengalir di tanah perkuburan Islam Senawang.

Cecair merah di tanah kubur bukan darah

SEREMBAN: Cecair yang mengalir seperti darah daripada Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang di sini, dikenal pasti bukan darah namun siasatan masih dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan.

Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Ibrahim Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati cecair berkenaan bukan darah seperti yang viral di laman sosial.

Beliau berkata, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan Datuk Bandar cMBS, Datuk Masri Razali serta Setiausaha MBS Mas Midyawan Yahya melawat lokasi kejadian, petang tadi.

Katanya, pihaknya juga sudah diberikan penerangan oleh pegawai dari JMG Negeri Sembilan mengenai fenomena yang berlaku di tanah perkuburan itu.

"Kami dimaklumkan bahawa tapak tanah asal perkuburan terbabit adalah tempat berpaya dan berair serta terdapat beberapa kolam di kawasan itu.

"Malah, batu di tapak berkenaan adalah jenis merah mengandungi mineral besi. Interaksi antara batu, air dan tanah menghasilkan oxide (karat) berwarna merah.

Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang, Seremban.
Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang, Seremban.

Cecair merah yang mengalir seperti darah di Tanah Perkuburan Islam Forest Height Senawang. Batu di tapak berkenaan adalah jenis merah mengandungi mineral besi. Interaksi antara batu, air dan tanah menghasilkan oxide (karat) berwarna merah.

"Sebab itu air yang mengalir di sekeliling kawasan perkuburan itu berwarna merah, namun ia bukan darah seperti dakwaan pelbagai pihak. Jika dilihat dengan mata kasar pun jelas tidak menyamai darah," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Terdahulu, viral pelbagai gambar mengenai kawasan perkuburan itu yang dipenuhi cecair berwarna merah seperti darah mengalir di celah-celah kubur sehingga menimbulkan kegemparan dalam kalangan orang ramai.

Mereka mendakwa cecair berkenaan adalah darah yang keluar daripada kubur terbabit.

Ibrahim berkata, tanah perkuburan berkenaan diwujudkan menerusi wakaf dan ketika ini MBS menutup sementara berikutan tapak sedia ada itu sudah penuh.

Katanya, tapak berkenaan akan dibuka semula sebaik projek tapak baharu bersebelahan siap sepenuhnya.

Berita Harian X