Khamis, 23 September 2021 | 10:57am

PARLIMEN: KPM sediakan manual sistem penggiliran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyediakan manual pengoperasian pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara penggiliran sebagai panduan kepada guru besar, guru, pelajar, ibu bapa serta penjaga.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, berkata manual terbabit adalah bagi memastikan PdP secara penggiliran dapat dilaksanakan dengan baik sebaik sekolah dibuka mulai 3 Oktober ini.

"Sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran hadir ke sekolah.

"Kemudian, guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan ketika menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai pembukaan sekolah secara penggiliran dan apakan perincian pelaksanaannya.

Radzi berkata, bagi kumpulan murid yang mengikuti PdPR secara sendiri, guru perlu menjelaskan mengenai aktiviti, latihan atau tugasan perlu dilaksanakan berdasarkan topik akan dipelajari.

Jelasnya, guru akan turut memberi sumber rujukan yang boleh digunakan oleh murid semasa pembelajaran di rumah.

"Bagi kumpulan murid yang mengikuti PdP secara bersemuka, selain daripada mengajar topik yang berkaitan, guru juga akan menjelaskan mengenai persediaan yang perlu dibuat apabila mereka berada di rumah untuk PdPR secara sendiri pada minggu berikutnya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Tze Tzin mengenai keputusan KPM yang mengundang kekeliruan ibu bapa berhubung sistem penggiliran dan PdPR, Razdi berkata, pelbagai sesi libat urus dilaksanakan sebelum keputusan pengoperasian semula sekolah dibuat.

Seperti yang dijelaskan apabila pembukaan sekolah diumumkan, beliau berkata, semangat di sebalik pembukaan sekolah adalah untuk mengembalikan murid kepada sistem persekolahan bersemuka.

"Sekolah sudah ditutup untuk tempoh yang lama dan dalam konteks KPM, ada lebih lima juta murid di seluruh negara," katanya.

- Foto hiasan
- Foto hiasan
Berita Harian X