Isnin, 20 September 2021 | 4:57pm
- Hiasan
- Hiasan

Syor wujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-kanak

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial mencadangkan beberapa penambahbaikan membabitkan perlindungan, kebajikan serta pemeliharaan kanak-kanak di negara ini.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, cadangan itu termasuk mewujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak dari segi fungsi dan peranannya kini berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

"Bagi memastikan pembelaan terhadap kanak-kanak yang berfokus, komprehensif dan efisien, satu Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak perlu diwujudkan.

"Suruhanjaya ini akan menjadi satu badan yang bebas dan tidak tertakluk di bawah mana-mana kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lain serta memiliki bidang kuasa khusus bagi melindungi hak serta kebajikan kanak-kanak di Malaysia," katanya dalam kenyataan berkenaan, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Azalina serta dihadiri Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff serta Hannah Yeoh.

Sembilan lagi agensi lain yang terbabit dalam mesyuarat berkenaan ialah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), SUHAKAM dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Selain itu, cadangan lain ialah pemberian warganegara kepada kanak-kanak yang ibunya berkahwin dengan warga asing.

"Memberi kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia serta berkahwin dengan warga asing serta membatalkan tafsiran awal menetapkan kewarganegaraan kanak-kanak diberikan berasaskan status bapa warganegara Malaysia saja.

"Ini selaras dengan usaha kerajaan ke arah pemeliharaan dan perlindungan hak golongan lelaki serta wanita serta menjamin hak kanak-kanak untuk identiti diri terutamanya apabila membabitkan masa hadapan kanak-kanak berkenaan.

"Hasrat ini akan menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia selari dengan dasar kerajaan tiada golongan tercicir atau 'No one is left behind'," katanya.

Jawatankuasa itu turut memohon perhatian kerajaan bagi meneliti semula peruntukan sewajarnya dalam usaha penambahan perjawatan dan pengoperasian Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia (D11).

"Ini termasuklah pertambahan perjawatan dan pengoperasian D11 di negeri dan daerah bagi mengendalikan kes berkaitan jenayah seksual dan keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak.

"Selain itu Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak wajar diperluas ke setiap negeri dalam memastikan usaha ia berimpak tinggi dan memberi kesan ketara," katanya.

Berita Harian X