Isnin, 20 September 2021 | 10:40am
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

SPRM sahkan 3 pegawai disiasat kes salah guna kuasa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

"SPRM ingin menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terbabit dalam sebarang perbuatan jenayah.

"Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya perbuatan itu benar berlaku," menurut suruhanjaya berkenaan.

Berhubung penahanan tiga pegawai itu, SPRM memaklumkan, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan suruhanjaya itu berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan kerana ia akan menjejaskan siasatan.

BH difahamkan, siasatan bermula apabila ketua jabatan bergelar Datuk di sebuah agensi kerajaan mendapati wang yang dipulangkan kepadanya yang sebelum itu disiasat berkaitan satu kes, bukan sahaja jumlah wang keseluruhan, malah terdapat sejumlah wang palsu.

SPRM kemudian membuka kertas siasatan bagi menyiasat pegawai yang terbabit dalam siasatan kes berkenaan serta ke mana sejumlah wang itu hilang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan, berkata polis maklum mengenai penularan berita di media sosial berkaitan penahanan tiga pegawai kanan SPRM.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis setakat ini tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai dalam kes yang dikaitkan dengan pegawai SPRM berkenaan.

"Setakat ini, polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat," katanya.

Berita Harian X