Sabtu, 18 September 2021 | 5:15pm
PEJUANG, WARISAN dan MUDA wajar menyertai MoU dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat rakyat. - Foto JABATAN PENERANGAN
PEJUANG, WARISAN dan MUDA wajar menyertai MoU dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat rakyat. - Foto JABATAN PENERANGAN

'MoU tidak jejaskan proses semak dan imbang'

PADANG TERAP: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) diminta mempertimbangkan semula keputusan serta memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik demi kebaikan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penyertaan dalam MoU itu tetap membolehkan proses semak dan imbang dilaksanakan, selain mengekalkan kedudukan sebagai pembangkang.

"Proses semak dan imbang terus dilaksanakan walaupun kerajaan dan pembangkang bersepakat untuk mengambil pendekatan bekerjasama.

"Mereka tetap jadi pembangkang dan boleh membangkang dalam Parlimen tetapi ada persefahaman dan had berhubung hal di luar Parlimen," katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, diminta bagi mengulas tindakan tiga parti itu menolak untuk menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Isnin lalu, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

MoU itu merangkumi enam aspek iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mahdzir berkata, tiga parti terbabit turut diharap mencari jalan supaya dapat bersama kerajaan menangani pandemik COVID-19 dan membangunkan ekonomi.

Berita Harian X