Rabu, 15 September 2021 | 4:37pm

Azalina buat kejutan kembali mempengerusikan sidang

KUALA LUMPUR: Kejutan berlaku pada sidang Dewan Rakyat petang ini apabila Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, kembali menjalankan tugas.

Kehadiran Azalina di tempat duduk Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyapa Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ketika itu membahaskan usul junjung kasih kepada Titah Diraja menarik perhatian Ahli Parlimen.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) juga bangun bertanya apakah peraturan dipatuhi memandangkan Azalina sudah meletakkan jawatan pada 23 Ogos lalu.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) juga bangun dan berkata:

"Tolong jelaskan ini, kami tidak faham."

Bagaimanapun, Azalina menjelaskan beliau diminta oleh Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun untuk mempengerusikan sidang buat sementara mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3).

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), bagaimanapun kemudian bangun meminta penjelasan sama ada Peraturan Mesyuarat berkenaan digunakan dengan cara yang betul.

"Saya terperanjat kerana Speaker pagi tadi berada sebagai "backbenchers' tapi petang ini tiba-tiba mempengerusikan mesyuarat ini.

"Saya tidak ada masalah, namun adakah prosedurnya betul sedangkan kita sedang bermesyuarat membincangkan Titah Diraja dan tiada pemakluman daripada Yang Dipertua mengenai penggantian ini, yang begitu mudah dan ringkas," katanya.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pula berkata, keputusan menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua, semalam adalah tidak tepat berikutan jawatan yang dikosongkan Azalina itu perlu diisi segera kerana Dewan Rakyat akan bersidang sehingga hujung tahun ini.

"Saya tidak tahu kenapa, saya dengar dan baca berita ada masalah BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak bersetuju dengan UMNO yang ingin melantik Timbalan Speaker baharu. Ini isu dalaman..selesaikan dan jangan sebabkan Parlimen ini tidak ada Timbalan Speaker yang mencukupi," katanya.

Azalina kemudian menegaskan, tugasnya itu adalah untuk sementara waktu saja.

"Ini sementara saja, macam 'mutaah'. Hari Isnin atau Selasa, mungkin orang lain (yang mempengerusikan mesyuarat).

"Hari ini ada banyak lagi (pembahas). Saya diminta untuk menjadi pengerusi sementara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, dalam satu kenyataan menjelaskan, mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3), Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu untuk sementara dengan tidak perlu diberitahu kepada Majlis Mesyuarat pada bila-bila masa mesyuarat bersidang.

Mengikut peraturan itu, ahli yang mempengerusikan mesyuarat mempunyai kuasa Yang Dipertua sehingga Yang Dipertua balik semula mengetuai mesyuarat.

Berita Harian X