Selasa, 14 September 2021 | 5:02pm

Parlimen: Kehadiran Ahli Parlimen Jelutong hanya digantung sehari

KUALA LUMPUR: Tempoh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, dipendekkan kepada hanya sehari berbanding dua hari yang diputuskan pada pagi tadi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, ketika membuat keputusan itu turut meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Rayer supaya tidak lagi mengulangi tindakan provokasi yang membawa kepada penggantungan berkenaan.

"Saya menghormati Dewan ini dan saya pun perlu dihormati Ahli Dewan Rakyat. Saya boleh mengambil budi bicara, (gantung) satu hari (saja). Esok, dia boleh masuk dengan Ketua Pembangkang boleh nasihat (supaya) dia kurangkanlah provokasi itu," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika memulakan perbahasan Titah Diraja, meminta pertimbangan Rashid supaya arahan menggantung Rayer ditarik balik.

Pada persidangan pagi tadi, Rashid mengarahkan Rayer digantung dua hari, selepas Rayer meminta Rashid menjelaskan tindakan menolak usul menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.

Keadaan menjadi tegang selepas Rayer enggan menarik balik kenyataan 'memalukan' yang dituju kepada Rashid, selepas berulang kali diminta berbuat demikian.

Berita berkaitan:

  • Ahli Parlimen Jelutong digantung dua hari
  • Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH), pada sidang Dewan Rakyat.
    Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH), pada sidang Dewan Rakyat.
    Berita Harian X