Selasa, 14 September 2021 | 1:43pm

PM jelaskan mengapa lantik Muhyiddin

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mempertahankan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.

Beliau berkata, Muhyiddin sudah memegang jawatan berkenaan sejak MPN diwujudkan, maka kerajaan memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu untuk terus menggalas tanggungjawab terbabit.

"Dari segi MPN yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pagoh, memang beliau sudah menjadi pengerusi sejak mula MPN diwujudkan. Jadi, sebab itu kita beri kepercayaan kepada beliau untuk teruskan tugas," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH - Kulim Bandar Baharu), yang mahu mengetahui rasional Muhyiddin diberi tanggungjawab mengetuai MPN.

Pada 4 September lalu, Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Muhyiddin pula yang menerima pelantikannya sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri memaklumkan sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berita Harian X