Jumaat, 10 September 2021 | 1:36pm
Tengku Zafrul (kanan) memberi jaminan bantuan berterusan kerajaan kepada rakyat sehingga akhir tahun ini - Foto Kementerian Kewangan
Tengku Zafrul (kanan) memberi jaminan bantuan berterusan kerajaan kepada rakyat sehingga akhir tahun ini - Foto Kementerian Kewangan

BKC sebahagian bantuan berterusan hingga akhir tahun

PUTRAJAYA: Bantuan Khas COVID-19 (BKC) adalah sebahagian daripada bantuan berterusan kerajaan kepada rakyat sehingga akhir tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bantuan tunai yang disediakan kerajaan kepada hampir 10 juta penerima sehingga kini adalah sebanyak RM12.3 bilion.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi keseluruhan pembayaran BKC, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan BPR Tambahan.

"Baki pembayaran BPR (Fasa 3 dan rayuan), BKC (Fasa 2 dan Fasa 3) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) juga dijangka akan disalurkan kepada penerima antara September hingga Disember 2021 dengan anggaran sebanyak RM4.8 bilion.

"Secara keseluruhannya, kerajaan telah memperuntukkan RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan BKP yang sudah dan akan disalurkan kepada penerima yang layak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) Ke-67, semalam.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan ketika ini sedang berusaha mengukuhkan ketahanan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan awam untuk menangani pandemik di masa hadapan, di samping bersedia berhadapa cabaran jangka panjang populasi yang semakin menua dan penyakit tidak berjangkit.

Beliau berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah pendekatan komprehensif untuk memulihkan keyakinan rakyat disamping membenarkan ekonomi dibuka dengan selamat.

PPN, katanya menilai kesediaan negara untuk mengurangkan sekatan secara holistik, mengambilkira keperluan untuk pelbagai aspek pemulihan.

Katanya, imunisasi penduduk Malaysia adalah kunci bagi pemulihan ekonomi Malaysia dan dijangka akan mencapai 100 peratus vaksinasi penuh pada akhir Oktober ini.

"Kegawatan ekonomi tidak memberi kesan yang sama kepada semua rakyat, malah rakyat juga tidak mampu memikul beban terpaksa menanggung kesan yang paling teruk.

"Justeru, komponen penting dalam agenda pemulihan PPN dan Belanjawan 2022 adalah ekonomi. Dalam jangka masa terdekat, sektor yang paling teruk dan isi rumah yang paling terjejas akan dibantu. Tonggak utama pemulihan ekonomi adalah penciptaan pekerjaan.

"Belanjawan 2022 juga akan dikonseptualisasikan sebagai belanjawan pemulihan bagi melengkapkan usaha reformasi jangka panjang kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12)," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, institusi kewangan pembangunan (DFI) turut disaran memberikan sokongan penuh di dalam tempoh pemulihan ekonomi negara ini.

Beliau berkata, antara sokongan yang perlu diberikan DFI adalah dari segi pembiayaan yang diperlukan untuk memulih dan memelihara perniagaan serta menyediakan pelbagai peluang pekerjaan yang menyokong kehidupan rakyat secara langsung.

Katanya, sokongan segera dari pihak DFI bagi menghindari impak jangka panjang ini terutamanya diperlukan bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor strategik seperti sektor pertanian, pembangunan infrastruktur, aktiviti maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif.

"DFI memainkan peranan yang strategik dan penting dalam merangka strategi pemulihan ekonomi negara yang bersepadu, dengan menyumbang kepada usaha kritikal memulih dan memelihara kapasiti perniagaan, selaras dengan objektif penubuhannya sebagai instrumen penting pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

"Sehubungan itu, DFI disarankan untuk merangka penyelesaian yang praktikal seperti pembiayaan yang tidak membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin," katanya.

Berita Harian X