Selasa, 24 Ogos 2021 | 6:46pm
Pekerja industri menunggu giliran bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di PPV PIKAS di Senawang, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL
Pekerja industri menunggu giliran bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di PPV PIKAS di Senawang, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL

Negeri Sembilan masuk Fasa Dua

PUTRAJAYA: Perdana Menteri mengumumkan Negeri Sembilan beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Khamis ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan keadaan COVID-19 di Negeri Sembilan yang bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad unit rawatan rapi (ICU) daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

Beliau berkata, perkembangan itu selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi, iaitu 72.3 peratus daripada kalangan penduduk dewasa yang menerima dua dos.

"Ini menunjukkan Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat.

"Kerajaan mengumumkan peralihan Fasa PPN di Negeri Sembilan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua.

"Keputusan ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan sama seperti negeri-negeri lain yang beralih ke Fasa Dua, termasuk kebenaran pergerakan rentas daerah bagi individu yang lengkap dua dos vaksin; pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya lengkap dua dos vaksin.

Kemudahan lain, beliau berkata, ialah ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi serta mempunyai anak bawah usia 18 tahun yang menetap di negeri lain, dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa.

Katanya, individu sudah melengkapkan vaksinasi juga dibenarkan menjalankan aktiviti solat di masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara.

"Hanya pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk 'dine-in' di restoran, warung dan premis kedai makan. Pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang lengkap divaksinasi.

"Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib sudah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan 'homestay'," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, setakat semalam, seramai 13,315,774 juta individu sudah melengkapkan vaksin COVID-19 iaitu 56.9 peratus daripada kalangan populasi dewasa, manakala jumlah kadar vaksinasi satu dos ialah 18,476,589 individu (iaitu 78.9 peratus daripada kalangan populasi dewasa).

Berita Harian X