Selasa, 24 Ogos 2021 | 6:28pm
 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Labuan beralih ke Fasa 4 PPN mulai Khamis

PUTRAJAYA: Labuan menjadi wilayah pertama di negara ini yang beralih ke Fasa Empat pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Khamis ini apabila mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berdasarkan kepada kadar vaksinasi lengkap dua dos bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selain disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian di Labuan yang menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

Beliau berkata, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Labuan kini menurun ke angka sifar atau kosong peratus berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya.

"Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan Fasa PPN di Labuan daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan Negeri Sembilan kini memasuki Fasa Dua PPN berkuat kuasa Khamis ini.

Beliau berkata, peralihan di Negeri Sembilan berikutan keadaan COVID-19 di negeri itu yang bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

Beliau berkata, perkembangan itu selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang menerima dua dos.

"Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan mengumumkan peralihan Fasa PPN di Negeri Sembilan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua. Keputusan ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Dengan peralihan itu, penduduk di Labuan kini boleh menikmati kelonggaran semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

Mereka juga boleh mengadakan majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, 'retreat' dan 'reunion' dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan sama seperti negeri-negeri lain yang beralih ke Fasa Dua termasuk kebenaran pergerakan rentas daerah bagi individu yang lengkap dua dos vaksin; pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya lengkap dua dos vaksin dan ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi serta mempunyai anak bawah usia 18 tahun yang menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa.

Katanya, individu sudah melengkapkan vaksinasi juga dibenarkan menjalankan aktiviti solat di masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

"Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

"Hanya pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk 'dine-in' di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang lengkap divaksinasi.

"Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib sudah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan 'homestay'," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, setakat semalam, seramai 13,315,774 juta individu sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 iaitu 56.9 peratus daripada kalangan populasi dewasa manakala jumlah kadar vaksinasi satu dos ialah 18,476,589 individu (iaitu 78.9 peratus daripada kalangan populasi dewasa).

Berita Harian X