Isnin, 23 Ogos 2021 | 7:41pm

Kelantan terus catat kluster baharu aktiviti ziarah

PUTRAJAYA: Kelantan terus mencatatkan pertambahan kluster dalam kalangan komuniti membabitkan aktiviti ziarah dan sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat kluster terbaru di negeri berkenaan dikesan daripada aktiviti ziarah di beberapa daerah yang sudah menjangkiti 53 individu.

Beliau berkata, empat kluster berkenaan adalah daripada keseluruhan 10 kluster dalam kalangan komuniti yang dikesan hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, terdapat 30 kluster yang dikesan oleh KKM termasuk 18 kluster tempat kerja serta dua dalam kalangan kumpulan berisiko.

Memperincikan mengenai kluster komuniti di Kelantan, beliau berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Jalan Bunut Susu di Pasir Mas.

"Kluster ini membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Bechah Palas, Jalan Bunut Susu, Pasir Mas. Kes indeks bagi kluster ini ialah lelaki berusia 48 tahun warga tempatan yang dilaporkan positif COVID-19 pada 18 Ogos lalu. Sehingga kini ia sudah menjangkiti lapan individu.

"Kluster Kampung Paya juga di Pasir Mas dan sudah menjangkiti lapan individu. Kes dalam kluster ini ialah lelaki berusia 33 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Ogos lalu. Ia membabitkan aktiviti ziarah di di Kampung Paya Mengkuang, Chetok, Pasir Mas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kampung Kayu Rendang di Kota Bharu yang sudah menjangkiti 14 individu yang membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Kayu Rendang, Kota Bharu.

Katanya, kes indeksnya ialah lelaki berusia 20 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Ogos lalu dan sehingga kini ia sudah menjangkiti 14 individu.

"Kluster Kampung Pulau Sa di Pasir puteh yang sudah menjangkiti 23 individu. Ia membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Pulau Sa dan kes indeks ialah lelaki berusia 21 tahun yang dilaporkan positif pada 17 Ogos lalu," katanya.

Berita Harian X