Ahad, 22 Ogos 2021 | 12:20pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyapa pihak media selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara semalam. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyapa pihak media selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara semalam. - Foto BERNAMA

Cabaran PM wujud politik stabil sehingga PRU-15

KEMELUT politik yang sekali lagi melanda tanah air, berakhir dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan. Cabaran besar kini menanti beliau khususnya memastikan pandemik COVID-19 dibendung, di samping memastikan krisis politik tidak berulang.

Wartawan BH, Ahmad Suhael Adnan mewawancara penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan pakar epidemiologi Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

Soalan (S): Apakah bentuk kerajaan baharu dijangka dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sejauh mana mampu bertahan?

Jawapan (J): Tahniah kepada Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan. Selesai satu episod politik penuh teka teki selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tanggungjawab kita sekarang, mendokong pelantikan ini. Di pihak pembangkang, tidak perlu ada tidak puas hati, manakala pada kerajaan, tidak perlu ada politik dendam. Usaha menstabilkan politik negara dan menyelesaikan masalah rakyat perlu diteruskan.

Isunya sekarang, bagaimana hendak menstabilkan politik negara? Bagaimana bentuk Kabinet baharu? Bolehkah politik negara stabil tanpa pembentukan kerajaan perpaduan?

Jika hendak bekerjasama dengan pembangkang, bolehkah diwujudkan kerjasama itu dengan pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Dengan ketegasan UMNO berpegang 'No Anwar, No DAP, ini sukar dilakukan.

Inilah tugas berat Perdana Menteri. Tidak mudah, tetapi jika dirasakan perlu, usaha membina citra baharu politik Malaysia perlu bermula. Jika ini tidak boleh dilakukan kerana perbezaan prinsip tajam, kerajaan perlu berunding dengan pembangkang mengenai Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA).

Rundinglah prinsip asas boleh mengikat untuk kebaikan rakyat dan negara. Jika ini dilakukan, saya fikir politik kita boleh stabil dan kerajaan boleh bertahan hingga PRU-15. Tanpa persefahaman ini, politik kita mungkin akan bergelut semula. Jika ini berlaku, susahlah kita mengatasi pandemik dan mengatasi keruduman ekonomi.

S: Pembentukan kerajaan tanpa jumlah kerusi kukuh akan menyaksikan tawar-menawar dalam pembentukan Kabinet, jawatan dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Adakah ini masih formula mengekalkan kestabilan kerajaan baharu?

J: Satu faktor rakyat mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah Kabinet besar dan pelantikan Ahli Parlimen ke banyak jawatan GLC serta duta khas bertaraf menteri.

Rakyat melihatnya pembaziran wang negara, apatah lagi kehadiran sebahagian menteri dan timbalannya tidak dikenali rakyat pun. Perdana Menteri perlu mengelakkan hal ini.

Saya harap Kabinet besar tidak berulang, sebaliknya sesuai komposisi penduduk dan keperluan.

S: Bagaimanakah cara memastikan saiz Kabinet kecil, tetapi berkesan dengan fokus menangani pandemik?

J: Saiz Kabinet bukan parameter mengukur kejayaan kerajaan. Sorotan lepas juga menunjukkan saiz besar tidak berjaya menangani pandemik. Apa kita mahu, barisan Kabinet berkaliber untuk membantu Perdana Menteri.

Ramai Ahli Parlimen berkeupayaan membantu Perdana Menteri. Lantik mereka, lebih bagus jika dilakukan rentas parti.

Saya perhatikan ramai Ahli Parlimen muda mempunyai tenaga dan idea segar. Beri peluang kepada mereka daripada memikirkan untuk menghadiahkan jawatan kepada Ahli Parlimen tidak berkeupayaan.

Mengimbangi kedudukan Perdana Menteri bukan dengan membahagikan 'ghanimah' negara. Perdana Menteri perlu tegas. Ahli Parlimen menyokong Perdana Menteri untuk bekerja mengatasi masalah negara dan rakyat, bukannya kerana ganjaran jawatan.

Menangani pandemik COVID-19 tidak memerlukan saiz Kabinet besar, tetapi pakar berkaitan. Menteri hanya menyelaras dasar dan memantau supaya setiap dasar dilaksanakan dengan baik. Minimumkan campur tangan dalam kerja profesional sebegini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan di Istana Negara semalam. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan di Istana Negara semalam. - Foto BERNAMA

S: Apakah formula lain boleh dipertimbangkan dalam memastikan kestabilan kerajaan?

J: Perdana Menteri boleh fikirkan untuk pertama kalinya melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak atau Sabah. Jika tidak bersesuaian, perkasakan peranan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak. Selesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 dan pelaksanaan Perkara 20/18.

Formula paling penting, menjaga kebajikan, memahami aspirasi dan rungutan, pekerjaan serta kehidupan rakyat.

Misalnya, isu besar ketidakpuasan hati pekerja kontrak. Ada yang sudah 10 tahun, tetapi masih bekerja kontrak. Ada doktor perubatan dan pergigian, ahli farmasi serta jururawat sudah lima tahun bekerja, tetapi masih sebagai pegawai kontrak.

S: Bagaimanakah dengan kandungan CSA wajar dipertimbang termasuk yang ditawarkan bekas Perdana Menteri sebelum ini?

J: Tawaran bekas Perdana Menteri sebelum ini mengenai CSA adalah bagus, cuma ketika membuat tawaran itu, keadaan tidak sesuai.

Tawaran itu dilihat sebagai memujuk dan dilakukan setelah Perdana Menteri hilang majoriti. Keadaannya tidak sesuai membuatkan pembangkang menolak. Sekarang buat tawaran dan rundingan baharu.

Selain itu, kerajaan juga perlu beri perhatian terhadap cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Ambil perhatian beberapa cadangan beliau yang saya fikir wajar diberi perhatian.

Satu lagi, cari pasukan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara. Keadaan ekonomi sekarang tidak baik. Nilai mata wang dan pasaran saham kita jatuh. Bentuk pasukan dalam kalangan Ahli Parlimen dan pakar berkaitan untuk mengatasi masalah ini.

Jika Perdana Menteri bertindak baik dengan langkah pertama betul, yakinlah bangkangan dan bantahan daripada pembangkang akan mendapat tentangan rakyat.

S: Sejauh mana kecurigaan antara parti politik, termasuk dalam kerajaan boleh menjejaskan perjalanan kerajaan baharu selepas ini?

J: Kecurigaan itu akan terus ada. Ini politik. Oleh itu, jangan fikirkan kecurigaan. Fikirkan kaedah dan cara untuk terus bekerja sejak hari pertama lagi untuk membaiki kehidupan rakyat.

Jika kenyataan dasar pertama Perdana Menteri adalah untuk mewujudkan kesetaraan hidup dan keadilan untuk rakyat, rakyat akan menyokong. Kerajaan akan stabil kerana sokongan rakyat, bukannya tidak stabil kerana kecurigaan antara parti politik.

S: Sejauh mana konsep kerajaan perpaduan dapat digunakan dalam memastikan kestabilan politik dalam tempoh pandemik ini?

J: Kerajaan perpaduan adalah terbaik. Masalahnya terhalang dengan slogan 'No Anwar, No DAP' dan 'No Kleptokrat'. Selagi ada ratib seperti ini, selagi itulah tidak akan ada garis pertemuan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Ini tidak baik. Selagi ada 'No Kleptokrat', 'No Kluster Mahkamah', ini juga tidak baik untuk mewujudkan kekuatan kerajaan.

Perdana Menteri tidak perlu terikut ratib sebegini. Bina sikap baharu untuk menyatukan kepelbagaian pandangan dalam kalangan parti politik. Sama ada hendak melantik atau tidak dalam kalangan PH ke jawatan Kabinet, itu tidak mustahak.

Yang mustahak, adakan perundingan dahulu dan bincang kerajaan perpaduan atau CSA. Selepas itu, beritahu rakyat hasil pertemuan. Rakyat akan menilai siapa yang jujur. Rakyat kita sudah bermaklumat.

Sekiranya dalam pertemuan ini, pembangkang menolak tawaran baik daripada kerajaan, yang akan dimarahi rakyat ialah pihak enggan bertolak ansur.

Bagi yang didakwa sebagai kluster mahkamah atau kleptokrat pula, nyatakan terus soal kes mahkamah akan ditentukan mahkamah dan kerajaan tidak akan masuk campur. Baru nampak integriti. Mulakan langkah pertama ini dengan betul sebelum ia tempang.

Antara orang ramai yang hadir menjalani ujian saringan COVID-19 percuma sempena program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) di Permatang Pasir, semalam. - NSTP/Danial Saad
Antara orang ramai yang hadir menjalani ujian saringan COVID-19 percuma sempena program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) di Permatang Pasir, semalam. - NSTP/Danial Saad

S: Sejauh mana Prof melihat Ismail Sabri mengetuai negara keluar daripada pandemik, pemulihan ekonomi serta pada masa sama dihormati supaya boleh mengekalkan kestabilan politik sebelum PRU-15?

J: Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan, tentunya setelah yakin Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan beliau dapat mengatasi masalah dihadapi negara.

Pendirian saya, bagi sokongan dan dukungan dahulu. Setelah dilantik, tanggungjawab Perdana Menteri pula untuk membina pasukan dapat membantu. Pasukan ini jangan berdasarkan kroni atau memberi jawatan kepada Ahli Parlimen menyokongnya sebagai ganjaran, tetapi berdasarkan keupayaan dan kebolehan.

Ramai yang boleh. Saya yakin, jika pasukan Perdana Menteri betul, maka pemulihan ekonomi dan kestabilan politik boleh dicapai.

S: Apakah senario parti tidak memiliki sokongan kukuh akan menjadi norma baharu politik pada masa depan, khususnya melihat kecenderungan generasi baharu untuk tidak terikat dengan mana-mana parti politik?

J: Sekarang kita mempunyai pengundi bermaklumat. Senario tidak terikat kepada parti bukan hanya generasi muda, bahkan generasi tua. Jika parti politik gagal mengurus hal ini dengan baik, akan banyak muncul calon alternatif (Bebas).

Apakah ini baik untuk negara? Saya fikir ia positif. Pengundi perlu berubah sesuai tuntutan semasa. Kerajaan juga perlu berubah sesuai dengan tuntutan semasa. Inilah dikatakan kemajuan demokrasi.

Oleh itu, pada masa depan, Perdana Menteri perlu mempertahankan prinsip asas sebuah negara demokrasi matang: keadilan, kesetaraan, kesejahteraan dan kemanusiaan. Angkat hak negara dan rakyat. Jika ini dilakukan, inilah politik negara masa depan.

Pemeriksaan suhu badan sebelum menerima suntikan vaksin menerusi temujanji Selangkah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, 12 Ogos. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pemeriksaan suhu badan sebelum menerima suntikan vaksin menerusi temujanji Selangkah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, 12 Ogos. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

S: Berdasarkan situasi politik semasa, apakah jangkaan Prof mengenai kerjasama bakal dibentuk menjelang PRU-15, pihak mana miliki kelebihan serta apa jaminan kestabilan kerajaan bakal dibentuk selepas PRU-15?

J: Bentuk kerjasama politik hari ini akan kekal. Saya lihat politik kita tidak banyak berubah hingga muncul kumpulan generasi muda memimpin negara. Kita masih terikat kepada isu tidak substantif dan tidak juga ideologikal.

Propaganda politik masih terikat kepada perkauman dan keagamaan. Saya jelaskan dalam negara majmuk seperti Malaysia, staatsvolk (dominasi etnik majoriti) Melayu hendaklah menjadi terasnya dan hak kaum minoriti lain perlu kekal terjamin serta diraikan.

Saya fikir bukan Melayu memahami hak staatsvolk Melayu ini, tetapi ada sebilangan mereka ekstrem seperti ada juga dalam kalangan Melayu ekstrem. Inilah perlu kita atasi melalui pendidikan politik, ketatanegaraan dan Perlembagaan.

Politik kita boleh matang dan stabil jika meraikan perbezaan pandangan, menghormati hak asasi rakyat, menjunjung Perlembagaan, mengelakkan tekanan kepada lawan politik, merapatkan jurang ekonomi antara rakyat dan wilayah. Ini sebenarnya asas kestabilan.

Bagi mencapai hal saya nyatakan ini, kita perlu berubah. Bukannya rakyat perlu berubah, tetapi pemimpin perlu berubah dulu untuk mempunyai budaya demokrasi matang. Inilah jaminan kestabilan untuk menghadapi PRU akan datang.

Manfaatkan segala kepakaran tangani isu ekonomi, wabak

Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud
Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud

Soalan (S): Apakah perlu kerajaan baharu kekalkan dalam pelaksanaan membendung COVID-19 oleh kerajaan sebelum ini?

Jawapan (J): Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dikekalkan hingga sasaran awal tercapai, iaitu 80 peratus penduduk mendapat vaksin. Tiada pilihan dalam hal ini.

Ini hanya sasaran awal. Saya jangka ada kemungkinan lambat-laun kita perlu memvaksinkan semua penduduk, bukan hanya 80 peratus.

S: Apakah perubahan strategi perlu dilaksanakan Perdana Menteri baharu dalam memastikan usaha mengawal dan menurunkan penularan COVID-19 berjaya?

J: Sudah jelas strategi pengurusan pandemik COVID-19 sekarang belum lagi menampakkan kesan nyata. Kegagalan pengurusan pandemik timbul daripada keengganan pihak berwajib untuk melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh membabitkan semua pihak.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, pihak berwajib gagal melaksanakan penambahbaikan dalam pengurusan pandemik.

Saya menyeru beberapa kali dari awal pandemik tahun lalu untuk negara memberi perhatian pada pekerja asing dan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dipinda.

Selain itu, menyediakan sistem survelan sindromik sebagai sistem amaran awal, penggunaan dan analisis data raya, penggunaan indikator lebih baik, pembabitan pakar epidemiologi dan tingkah laku daripada luar Kementerian Kesihatan (KKM).

Juga penyediaan pelan pandemik lebih baik, perkongsian data dengan pakar universiti dan tiada dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang serta peraturan.

Namun, kebanyakan saranan saya tidak diendahkan hingga sudah terlambat. Ketiadaan hala tuju jelas dalam pengurusan pandemik dan kelekaan ini mendatangkan padah. Pendekatan baharu mesti membabitkan semua sektor kerajaan dan bukan kerajaan.

Hanya baru-baru ini nampak usaha untuk membabitkan sektor luar dalam Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF).

S: Dengan imuniti kelompok disasar dicapai Oktober ini, lebih 80 juta dos vaksin dibawa masuk, sejauh mana kes harian akan menurun?

J: Imuniti kelompok ini sebenarnya suatu konsep kurang difahami masyarakat. Ia bukan terletak kepada bilangan orang divaksin atau bilangan vaksin dibeli. Imuniti kelompok terjadi apabila terdapat pengurangan penularan penyakit dan perlu dibuktikan melalui kajian dan data.

Terdapat dua jenis perlindungan dihasilkan vaksin, iaitu perlindungan langsung dan perlindungan penularan. Perlindungan langsung dibuktikan dalam ujian klinikal, tetapi perlindungan penularan agak sukar dibuktikan, sebaliknya bergantung kebolehjangkitan varian sedia ada.

Bagi varian Delta, kajian luar negara jelas menunjukkan perlindungan langsung masih tinggi untuk vaksin sedia ada, tetapi perlindungan penularan mungkin berkurangan dengan varian Delta.

Perlindungan langsung melindungi seseorang daripada penyakit teruk, tetapi bilangan kes mungkin tetap tinggi disebabkan penularan masih tinggi. Jadi dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk membuat jangkaan bilakah bilangan kes akan berkurangan.

Namun, jika peratusan kes teruk (kategori 4 dan 5) berkurangan, ia petanda vaksin berjaya mengurangkan beban kepada sistem kesihatan kita. Bagi memastikan kita dapat keluar daripada pandemik, kita perlu memvaksin seberapa ramai penduduk yang boleh, termasuk kanak-kanak.

Kita juga perlu memberi vaksin kepada semua penduduk dewasa tidak kira warga negara atau tidak. Malaysia mempunyai bilangan warga asing, termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) cukup ramai. Adalah mustahil untuk kita keluar tanpa memberi vaksin kepada warga asing termasuk PATI.

Warga asing beratur untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil, 13 Ogos. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Warga asing beratur untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil, 13 Ogos. - NSTP/Saifullizan Tamadi

S: Antara isu dibangkitkan kerajaan negeri ialah tidak dapat data sepenuhnya daripada persekutuan atau KKM, hingga menjejaskan langkah diambil kerajaan negeri, Sejauh mana perkongsian maklumat sebegini penting?

J: Selama ini, hanya KKM sahaja ada data terperinci atau granular data mengenai pesakit dan kontak COVID-19. Namun, saya tidak nampak analisis betul-betul canggih dan boleh digunakan untuk pengurusan pandemik.

Apa gunanya data sekiranya tidak digunakan dengan betul? Analisa data baik amat diperlukan untuk mengenal pasti golongan dan lokaliti berisiko mencetuskan kluster, yang perlu diberi perhatian supaya langkah pencegahan boleh cepat dilakukan dan memastikan rawatan optimum untuk pesakit.

Kelewatan langkah pembendungan akan menyebabkan kluster menjadi terlalu besar untuk dibendung. Data juga boleh membantu kerajaan negeri memastikan aktiviti ekonomi boleh dibenarkan tanpa menjejaskan kesihatan masyarakat.

Semua ini tidak dilakukan disebabkan keengganan KKM berkongsi data dengan pakar di luar KKM.

S: Ada tanggapan tindakan diambil KKM kurang membabitkan pakar dalam bidang penyakit berjangkit pada peringkat keputusan akhir. Apa pandangan Prof?

J: Memang ada kebenaran dalam tanggapan ini. Terdapat ramai pakar di luar KKM, tetapi kami tidak diberi akses kepada data dan tidak dibabitkan dalam pengurusan wabak walaupun tujuan kami adalah untuk membantu negara.

Hanya baru-baru ini nampak langkah untuk membabitkan pakar luar dalam GKV STF. Ini amat lewat sekali dan banyak kesilapan sudah berlaku sebelum pembabitan pakar luar.

S: Pada pandangan Prof, berdasarkan situasi penularan COVID-19, bilakah dijangka waktu sesuai untuk Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

J: Belum lagi masa sesuai untuk mengadakan PRU-15. Ini bergantung kejayaan pengawalan wabak dan saya masih belum nampak kejayaan menyeluruh dalam hal ini.

S: Apakah harapan Prof kepada ahli politik dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, dalam konteks memastikan episod pandemik COVID-19 dapat berakhir secepat mungkin?

J: Saya amat berharap kerajaan baharu akan betul-betul menggunakan pendekatan saintifik dalam menangani semua hal, daripada ekonomi hingga kawalan wabak. Kerajaan harus menerima pandangan pakar luar tidak ada kepentingan peribadi dan menggunakan kepakaran ini untuk melakukan terbaik untuk rakyat.

Berita Harian X