Selasa, 17 Ogos 2021 | 8:48pm

Kanak-kanak jadi kes indeks kluster baharu

PUTRAJAYA: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menjadi kes indeks bagi Kluster Lorong Wook di Pasir Mas, Kelantan dan sehingga kini sudah menjangkiti 11 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster dalam kalangan komuniti itu dikesan hasil saringan individu bergejala pada 11 Ogos lalu.

"Kes mula mengalami gejala pada 6 Ogos lalu dan nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Lorong Wook, pekan Pasir Mas.

"Sehingga kini 26 individu sudah disaring iaitu 11 daripadanya dikesan positif COVID-19 termasuk tiga kes baharu hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster berkenaan adalah antara 39 kluster baharu yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini iaitu 23 kluster membabitkan tempat kerja, 13 dalam kalangan komuniti, dua dalam pusat tahanan serta satu kumpulan berisiko.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, selain kluster membabitkan kanak-kanak, pihaknya turut mengesan kluster yang tercetus daripada aktiviti merentas negeri dan menghadiri majlis perkahwinan.

Kluster rentas negeri yang dikesan hari ini dikenali sebagai Kluster Kampung Panchor membabitkan daerah Besut di Terengganu dan Pasir Puteh, Kelantan.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah wanita berusia 35 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 6 Ogos lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kes mengalami gejala bermula pada 28 Julai lalu serta mempunyai sejarah merentas negeri dari Kelantan ke Terengganu pada 26 Julai untuk melawat ahli keluarganya. Sehingga kini seramai 58 individu sudah disaring iaitu 35 daripada disahkan positif COVID-19," katanya.

Mengenai kluster menghadiri majlis perkahwinan, ia dikenali sebagai Kluster Sawit Baiduri yang dikesan di Lahad Datu, Sabah.

"Kes ini membabitkan individu yang menghadiri majlis perkahwinan di Felda Sahabat 9, Baiduri Ayu, Lahad Datu. Kes indeks ialah seorang lelaki berusia 48 tahun yang juga warganegara Indonesia.

"Hasil saringan ke atas 178 individu, seramai 77 kes disahkan dijangkiti COVID-19 termasuk 43 kes baharu hari ini," katanya.

Berita Harian X