Isnin, 16 Ogos 2021 | 8:02pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Tujuh lokaliti di dua negeri kena PKPD dua minggu

KUALA LUMPUR: Tujuh lokaliti iaitu enam di Tawau, Sabah dan satu di Maran, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md Saad, berkata pelaksanaan PKPD bermula 18 Ogos ini di Tawau, Sabah membabitkan Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik; Kampung Sri Aman, Batu 3 1/2, Jalan Apas; Kampung Hidayat, Batu 4; Taman Semarak Jaya; Lorong Damai, Jalan Damai dan Lorong Haji Marzuki, Jalan Damai manakala Kampung Luit di Maran, Pahang.

"Selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD akan dilaksanakan di semua kawasan berkenaan.

"Semua prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rodzi berkata, MKN turut melanjutkan pelaksanaan PKPD di Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn, Mukah, Sarawak dan Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang.

"PKPD di Mukah, yang dijadualkan tamat esok (17 Ogos) akan dilanjutkan juga bermula Rabu ini hingga 31 Ogos manakala PKPD di Raub, akan dilanjutkan dari 18 Ogos hingga 24 Ogos," katanya.

Beliau berkata, MKN turut mengumumkan penamatan PKPD di dua lokaliti di Mukim Ulu Dong, Raub iaitu Kampung Bedu, Kampung Pamah Kulat selain Sungai Klau dan Sungai Chalit, Raub.

Turut ditamatkan PKPD adalah dua lokaliti di Beaufort, Sabah, iaitu Kampung Selagon dan Kampung Binsulok serta dua lokaliti di Mukim Bandi, Kemaman, Terengganu iaitu Bandar Cheneh Baru dan FELDA Neram.

"PKPD di Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan; Kampung Tok Sadang, Mukim Badang, Kota Bharu, Kelantan dan Kampung Bintawa Hilir, Kuching, Sarawak turut ditamatkan seperti yang dijadualkan," katanya.

Berita Harian X