Isnin, 16 Ogos 2021 | 7:24pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

5 kluster baharu dikesan di Kelantan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kesan lima kluster baharu di tiga daerah di Kelantan yang membabitkan aktiviti ziarah serta sudah menjangkiti 74 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster ziarah itu tiga dikesan di Pasir Mas manakala masing-masing satu kluster di Jeli dan Kota Bharu.

Katanya, ia adalah daripada 35 kluster baharu yang dikesan hari ini iaitu 21 kluster membabitkan tempat kerja, 11 dalam kalangan komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster institusi pendidikan.

Mengenai kluster daripada aktiviti ziarah, Dr Noor Hisham berkata, ia dikesan di Jeli yang dinamakan sebagai Kampung Jeribong dan kini sudah menjangkiti sembilan individu termasuk lapan kes baharu hari ini.

"Kluster ini membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Jerimbong, Kuala Balah di Jeli. Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang wanita berusia 19 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Ogos lalu. Beliau mula menunjukkan gejala pada 10 Ogos.

"Bagi kluster kedua, ia dikenali sebagai Kluster Kampung Kuin Merah di Rantau Panjang, Pasir Mas. Kes indeks bagi kluster ini ialah wanita berusia 49 tahun hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini sudah menjangkiti 13 individu.

"Kluster ketiga dikenali sebagai Kampung Gual Pasong Hantu membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Gual Pasong Hantu di Rantau Panjang. Ia membabitkan kes indeks seorang wanita berusia 31 tahun dan sehingga kini sudah menjangkiti 27 individu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster seterusnya, Dr Noor Hisham berkata, ia dikesan di Pasir Mas yang dikenali sebagai Kluster Kampung Bayu Lalang.

"Kluster ini membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Bayu Lalang. Kes indeks adalah wanita berusia 55 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Ogos hasil saringan bergejala.

"Kluster terakhir aktiviti ziarah dikenali sebagai Kampung Huda 2 di Kota Bharu yang kini sudah menjangkiti 20 individu. Ia membabitkan aktiviti ziarah di Kampung Huda, Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu yang membabitkan kes indeks wanita berusia 66 tahun hasil saringan individu bergejala," katanya.

Berita Harian X