Ahad, 15 Ogos 2021 | 1:47pm

Ingkar SOP ibarat tabur pasir dalam periuk nasi sendiri

Pengumuman kelonggaran untuk mereka yang sudah lengkap vaksinasi membabitkan negeri yang sudah beralih sekurang-kurangnya ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengundang polemik. Ada gembira, tidak kurang risau memikirkan risiko terutama dengan penularan varian baharu COVID-19 yang lebih ganas.

Ikuti temu bual wartawan BH, Saiful Haizan Hasam, bersama Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Datuk Mohd Khalid Harun. - Foto NSTP
Datuk Mohd Khalid Harun. - Foto NSTP

Soalan (S): Bagaimana keadaan industri pelancongan negara selepas dua tahun bergelut pandemik?

Jawapan (J): Bagi saya industri pelancongan negara sudah lama berkubur. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kita tidak boleh lagi melancong, malah tidak boleh ke mana-mana dengan bebas. Secara automatik apa juga jenis perjalanan membabitkan kos akan terhenti, sekali gus menyebabkan aktiviti ekonomi atau pergerakan aliran tunai juga terhenti.

Paling awal terjejas ialah ejen pelancongan, mereka tidak boleh menjual pakej pelancongan. Waktu itu belum ada PKP, pandemik pun baru bermula, tetapi orang sudah tidak berani melancong. Penggiat industri terpaksa mencari pekerjaan atau membuat perniagaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

S: Industri pelancongan kerugian RM45 bilion sejak Mac 2020. Apa harapan untuk sektor ini pulih?

J: Pemulihan tidak hanya bergantung kepada selesainya pandemik semata-mata. Satu lagi masalah ialah kestabilan kerajaan. Kita tengok apa dirancang tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana ada tukang kacau. Hari ini kerajaan umum sesuatu, esok di Parlimen kena serang. Ini mengganggu jentera kerajaan. Penggiat industri pula jadi tidak menentu kerana arahan sentiasa berubah.

Ketidakstabilan kerajaan satu penyakit kepada penggiat industri kerana ia menyebabkan masalah ini berpanjangan. Namun saya percaya, jika kita ada kerajaan stabil dengan majoriti dua per tiga, kita boleh pulih dengan cepat. pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan dan tarikhnya wajar ditetapkan siap-siap. Dengan cara itu pelabur ada keyakinan.

Hotel yang ditutup memerlukan modal pusingan. Persoalannya, apa dana boleh mereka manfaatkan. Jadi kena ada badan seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk memperhalusi aspek ini. Bank pula perlu sediakan dana untuk proses pemulihan ini, bukan untuk sektor pelancongan saja bahkan semua sektor lain yang berdepan masalah sama.

S: Apa komen mengenai kelonggaran pergerakan diumumkan kerajaan baru-baru ini?

J: Ia berita baik untuk kami. Secara realistik, langkah ini ada pro dan kontra kerana walaupun sudah ada PPN, keadaan COVID-19 nampaknya masih tidak terkawal. Kelonggaran memberikan kesan baik secara menyeluruh, bukan hanya untuk pemain industri pelancongan. Ia membabitkan pihak lain dalam rantaian ekonomi yang turut mendapat manfaat.

Apa juga perjalanan dari rumah ke sesuatu destinasi pastinya membabitkan perbelanjaan. Mereka singgah di stesen minyak untuk beli petrol, apabila nak makan mereka ke restoran. Setiap pembelian ini menaikkan jumlah jualan. Maknanya, aktiviti ekonomi mula bergerak. Restoran yang sebelum ini tutup, akan panggil balik pekerja mereka untuk beroperasi. Pekerja yang belum divaksin akan diarah majikan untuk mendapatkannya. Dengan sendirinya kelonggaran tadi memberi kesan teratur dan spontan, semua dapat manfaatnya.

Paling penting, semua pihak baik orang ramai atau pengusaha perniagaan termasuk dalam industri pelancongan wajib patuh SOP (prosedur operasi standard). Jangan tabur pasir dalam periuk nasi sendiri kerana Perdana Menteri sudah ingatkan kelonggaran boleh ditarik balik jika ada pelanggaran SOP.

Apa yang penting sekarang kita nak ada kehidupan melalui pelonggaran SOP, tetapi pada masa sama kita mengawal jangkitan. - NSTP/Ghazali Kori
Apa yang penting sekarang kita nak ada kehidupan melalui pelonggaran SOP, tetapi pada masa sama kita mengawal jangkitan. - NSTP/Ghazali Kori

S: Bagaimana maklum balas pengendali hotel dan inap desa. Adakah mereka bersedia?

J: Dalam hal ini, saya ambil Langkawi sebagai contoh. Dalam perancangan asal, Langkawi sepatutnya jadi destinasi pelancongan pertama beralih ke Fasa Dua PPN, tetapi dipintas Labuan. Pun begitu, kesedaran dalam kalangan penggiat industri pelancongan di sana terus dipertingkatkan. Dengan komitmen semua pihak, akhirnya Langkawi bersedia untuk dibuka kepada pelancong. Sebelum ini tarikh sudah ditetapkan iaitu bermula 1 September. Hotel dan semua pekerja sudah bersiap sedia.

S: Dalam aspek vaksinasi, adakah petugas barisan hadapan pelancongan diberi keutamaan?

J: Sepatutnya begitulah, berilah keutamaan kepada mereka dalam industri ini. Dulu Kementerian Pelancongan suruh buka sektor pelancongan, tetapi kalau buka dan orang yang bawa bas persiaran umpamanya belum divaksin, ini tidak boleh. Kalau nak buka balik sektor ini, sesiapa saja yang terbabit dengannya mesti lengkap vaksin dan matang tempohnya.

Bagi Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), saya buat cadangan ini dari dulu lagi dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, secara peribadi maklumkan kepada saya ia akan dibuat. Saya juga cadangkan supaya van dan bas ahli MATA dimanfaatkan dan diubah suai jadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan sekarang, kita dapat lihat kemudahan ini. Kita memang tidak ada pendapatan dalam pandemik, jadi apa yang boleh menjana pendapat, kita cakaplah supaya kerajaan ambil pandangan kita.

S: Apa mekanisme untuk mengelak risiko tercetus kluster jangkitan daripada aktiviti pelancongan?

J: Pertama, orang yang nak datang dan yang nak terima mesti bebas COVID-19. Sekarang sudah ada kit ujian sendiri dijual, jadi bila pelancong tiba di hotel, ujian saringan boleh dibuat. Walaupun keputusan boleh diketahui dalam 15 minit, lebih elok pelancong ini dikuarantin di bilik masing-masing sekurang-kurangnya 24 jam. Jangan bagi keluar berjalan terus kerana risiko tetap ada. Namun ini bergantung kepada negeri kerana setiap negeri ada peraturan dan mekanisme tersendiri.

Kedua, mesti ada satu badan membuat penilaian ke atas hotel dan inap desa. Kalau di Langkawi ada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), mereka perlu datang ke premis tengok keadaan dan buat pengiktirafan sama ada ia selamat atau tidak untuk terima pelancong. Antara aspek penilaian ialah staf divaksin dan kerja sanitasi. Semua syarat asas ini perlu dipenuhi supaya tidak bahayakan pengendali dan pelancong.

Pelancong juga perlu bersedia mematuhi SOP tempat penginapan seperti tidak boleh mandi di kolam atau sebagainya. Janganlah fikir bila sudah lengkap vaksin, kerajaan bagi kelonggaran, dunia ini kita yang punya. Tidak boleh begitu. Risiko tetap ada, jadi kena sentiasa waspada. Kalau rasa perlu pakai pelitup muka dalam bilik, pakailah kerana hotel biasanya guna sistem pendingin hawa berpusat. Kalau boleh dibuka tingkap bilik lagi bagus kerana pengudaraan baik boleh elak penularan jangkitan.

Apabila kembali ke rumah masing-masing, kena juga buat ujian saringan lagi sekali dan kuarantin di rumah. Kena pastikan bebas daripada COVID-19 bagi menjamin tiada risiko penularan dalam komuniti. Kita boleh belajar dari negara seperti Arab Saudi yang sedang memberi tumpuan kepada sektor pelancongan. Mereka memberi kebenaran untuk pelancong masuk sekiranya sudah lengkap dos vaksinasi dengan syarat 72 jam sebelum masuk kena buktikan negatif COVID-19 melalui ujian calitan.

Vaksin pun mereka tetapkan jenis apa yang diiktiraf. Walaupun ada negara yang mereka anggap berisiko seperti Indonesia, mereka bertindak bijak menetapkan syarat perlu kuarantin dulu di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi. Kita boleh tiru apa yang mereka buat.

Anggota polis di sekatan jalan raya Plaza Tol Bentong memeriksa orang awam yang merentas negeri yang sudah lengkap dua dos vaksin. - NSTP/Fathil Asri
Anggota polis di sekatan jalan raya Plaza Tol Bentong memeriksa orang awam yang merentas negeri yang sudah lengkap dua dos vaksin. - NSTP/Fathil Asri

S: Apa penilaian terhadap pematuhan SOP pengendali hotel dan inap desa?

J: Pengusaha pelancongan yang pernah positif COVID-19, saya yakin mereka tahu apa perlu dibuat. Bagi yang sudah divaksin dan belum pernah dijangkiti, mereka perlu seimbangkan antara kepentingan perniagaan dan SOP. Jagalah segala arahan dibuat pihak berkuasa. Jangan cuba kaut untung sebanyak mungkin dengan cepat sehingga mengurangkan persediaan. Saya faham semua persediaan ini membabitkan kos.

Ketika sekatan pergerakan dilonggarkan tahun lalu, hotel diminta membuat sanitasi dan bilik digunakan perlu dikosongkan satu malam sebelum boleh digunakan semula. Namun, saya dapat laporan ada hotel tidak ikut sebab tempahan banyak. Kerana nak untung cepat, ini yang berlaku.

Di sinilah peranan pemantau untuk laksanakan peraturan dengan tegas, jangan ada elemen rasuah dan sebagainya. Pemeriksaan mengejut perlu dibuat dengan kerap dan bagi kesalahan berulang, tindakan penutupan premis mesti dibuat.

S: Kelonggaran diberi kerajaan turut mencakupi aspek kuarantin di rumah bagi pengembara yang mempunyai kediaman di Malaysia. Apa pandangan?

J: Ia tidak sepatutnya diberi. Berdasarkan pengalaman sendiri, ia susah untuk dipantau kerana kita tidak tahu tahap kepatuhan mereka. Lebih elok dibuat di premis milik kerajaan atau menggunakan hotel sebagai pusat kuarantin. Sedikit sebanyak dapat bantu pengusaha yang sudah terjejas teruk.

Namun, cara ini ada pro dan kontra kerana saya terima laporan daripada orang dikuarantin yang dia perlu bayar untuk tujuh malam, walaupun hanya menginap enam malam. Ada juga aduan tentang kualiti makanan. Ini menunjukkan ada pengusaha hotel ambil kesempatan. Bagi saya kena ambil pendekatan 'menang-menang' dan hotel janganlah kaut keuntungan melampau.

Ubah strategi perang kepada hidup bersama COVID-19

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

S: Apa komen mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini?

J: Kita sudah terlalu lama dalam pandemik dan melalui pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesan beban sosial, kesihatan serta ekonomi kepada semua orang semakin berat. Persoalannya, berapa lama lagi kita nak berada dalam keadaan sebegini.

Perkara penting sekarang ialah dari segi taktikal iaitu bagaimana nak diseimbangkan antara hidup dan kehidupan. Kalau dilihat jumlah kes memang tinggi dan merisaukan. Jadi, kalau nak cari ruang untuk ada kelonggaran SOP, kita tak ada cara lain melainkan melihat secara terperinci kawasan atau perkara yang perlu kita bagi kelonggaran.

Contohnya, mungkin bukan seluruh negara, tetapi mengikut negeri atau daerah. Kemudian, apakah aktiviti boleh kita bagi kelonggaran. Kita tidak boleh gunakan pendekatan 'pukul rata'. Kalau pukul rata, semua orang akan terkesan. Kalau kita tak fikirkan untuk mencari ruang bagi kelonggaran sebegini, jadi bila kita akan keluar daripada kekangan pandemik?

S: Apakah strategi diguna pakai sekarang masih sesuai atau wajar diubah?

J: Ramai melihat kita masih berpegang kepada strategi membendung iaitu bersungguh-sungguh mengawalnya, ibarat 'berperang' melawan COVID-19. Sebaliknya, kita ada pilihan untuk berubah kepada mitigasi iaitu strategi hidup bersama COVID-19.

Strategi perang nampaknya tidak beri kejayaan besar kerana kita tiada senjata paling baik untuk melawan, kecuali mempertahankan diri melalui vaksinasi dan sebagainya. Kelonggaran SOP satu langkah awal ke arah hidup bersama COVID-19, namun masyarakat rata-ratanya bimbang dengan kemunculan varian baharu seperti Delta, Delta Plus dan Lambda. Kita tidak boleh terlalu taksub dan takut kepada COVID-19. Apabila terlalu taksub dan takut, nanti jadi macam orang kata 'mati beragan' - sebab semua benda tak boleh buat.

Kita lihat juga pengalaman negara lain di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Singapura yang beri kelonggaran, walaupun mereka ada kes jangkitan baharu. Realitinya, kita tak boleh lari (jangkitan baharu) kerana COVID-19 adalah virus hebat, akan terus bermutasi. Apabila kita beri vaksin, ia bermutasi.

S: Ada berpendapat kita tidak boleh terburu-buru beri kelonggaran. Apa pandangan?

J: Longgar SOP atau tidak, hakikatnya kes memang sudah ada. Apa yang penting sekarang kita nak ada kehidupan melalui pelonggaran SOP, tetapi pada masa sama kita mengawal jangkitan. Apa yang kita takut dengan jangkitan COVID-19 ialah kes kategori tiga hingga lima yang menyebabkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) atau berakhir kematian.

Jika kita semua mengambil vaksin sehingga capai 80 peratus atau lebih, kita tahu kalau dijangkiti pun, akan kena kategori satu dan dua. Hampir 95 peratus daripada kes harian sekarang berada dalam kategori ini. Tetapi sebab kita tengok kepada kes jangkitan harian yang capai 20,000 itu, kita jadi takut. Sebenarnya kita boleh beri kelonggaran seperti dibuat sekarang mengikut negeri yang tidak begitu tinggi kesnya.

Di AS, mereka ikut negeri dan county (daerah). Kawasan tinggi imunisasi dan rendah kes jangkitan, mereka buka. Begitu juga Korea Selatan yang sebelum ini buka pelbagai sektor lebih setahun, tetapi sebab ada varian baharu, mereka cepat bertindak dengan menutupnya semula.

Sepatutnya kita boleh buat begitu, tetapi sudah terlepas peluang peringkat awal dulu. Kalau waktu itu kita buat betul-betul, sekarang kita sudah boleh 'rileks' dan tunggu kemunculan varian baharu. Malangnya, keadaan kita sekarang masih bergelut dengan varian asal dan kini muncul pula varian baharu. Orang lain sudah lama habis varian asal, jadi kini berdepan dengan baharu saja.

Pekerja barisan hadapan sektor ekonomi menerima suntikan vaksin ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka, kelmarin. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Pekerja barisan hadapan sektor ekonomi menerima suntikan vaksin ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka, kelmarin. - NSTP/Syafeeq Ahmad

S: Peningkatan kes tinggi menunjukkan tahap disiplin masyarakat belum memuaskan?

J: Penggerak masyarakat perlu diberi kuasa secara sah untuk menjaga kawasan masing-masing seperti pada peringkat kampung atau persatuan penduduk. Setiap ahli jawatankuasa diberi peranan memantau sejumlah rumah. Mereka perlu pastikan berapa ramai isi rumah sudah menerima vaksin atau belum, selain memantau adakah mereka membuat majlis atau berkumpul.

Mereka juga kena pastikan tiada kes di kawasan masing-masing dan jika ada penduduk bergelaja, terus diarah kuarantin. Itu yang kita boleh buat untuk elak keadaan makin teruk. Soal disiplin orang kita, faham-fahamlah. Namun, bagi saya kita kena ada pemantau pada peringkat kampung dan komuniti. Jangan harap kepada pihak berkuasa sepenuhnya.

S: Ada berpendapat pembukaan semula sekolah 1 September ini kurang sesuai. Apa komen?

J: Sudah lama anak kita tidak bersekolah, hampir dua tahun. Apa nak jadi? Sampai nak campur tolak pun dah tak tahu. Sebenarnya kanak-kanak bukanlah golongan terdedah kepada bahaya, tetapi mereka boleh dapat jangkitan dan boleh menyebarkan jangkitan. Cuma kebiasaannya tidak menyebabkan kes tinggi seperti kumpulan lain. Angka kematian juga kurang.

Soal boleh buka sekolah atau tidak, kita jangan tengok situasi di Lembah Klang yang ada 10,000 hingga 12,000 kes sehari. Kita kena nilai juga situasi di negeri lain. Tengok apa perlu untuk buka sekolah dan asasnya adalah pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan pengudaraan dalam bilik darjah.

Jadual persekolahan juga boleh disusun semula, dibuat secara selang seli supaya kurang interaksi secara langsung dan masa pembelajaran dipendekkan. Guru, pengusaha kantin dan sesiapa saja bertugas di sekolah mesti divaksin. Kementerian Pendidikan (KPM) pula perlu wujudkan jawatankuasa pemantau di semua sekolah terdiri guru, ibu bapa atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan).

Bagi saya sekolah boleh dibuka dan kami pakar akan bertanggungjawab apabila kata begitu. Namun, kena susun balik dan jangan buka sekolah macam biasa kerana memang akan hancur sistem. Sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu sekolah nak buka, kita tubuhkan jawatankuasa pemantau membuat penilaian.

S: Apa komen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN). Adakah kita di landasan betul?

J: PPN satu pelan bagus, tetapi lebih penting indikatornya diubah. Jika berpandukan jumlah kes semata-mata, sampai bila pun kita tidak dapat bergerak ke fasa lain khususnya di Lembah Klang.

Kes harian tidak boleh dijadikan indikator kerana tidak tepat. Ia dipengaruhi jumlah ujian saringan. Makin banyak ujian saringan, makin tinggilah angkanya, begitulah sebaliknya. Saya lihat kerajaan terperangkap dengan statistik jangkitan harian.

Sepatutnya, tengok kepada purata pergerakan kes dalam masa tujuh atau 14 hari dan selepas itu, ambil data kes bagi setiap 100,000 penduduk. Kita juga kena tengok kadar vaksinasi, kes kematian dan jangkitan kategori tiga hingga lima. Semua angka ini sudah mencukupi.

S: Kalau tidak dedah kes harian, ada yang tuduh tidak ada ketelusan atau lebih teruk dikaitkan kepentingan politik?

J: Kesilapan kerajaan tidak mahu guna kepakaran luar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kita ada Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains COVID-19 (AEG) diketuai bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman.

Biarlah satu pihak bebas melihat data indikator ini, tidak perlu lagi di bawah KKM. Melalui AEG, kita ada pelbagai pakar. Biar mereka keluarkan data dan buat komunikasi risiko. Sudah sampai masa kerajaan beri kuasa kepada kumpulan pakar ini. Mereka ini bukannya ada kepentingan politik atau kewangan.

S: Apa yang Datuk boleh simpulkan mengenai keadaan COVID-19 dalam negara?

J: Kita sudah lama dalam pandemik, lebih setahun setengah. Kes kita juga masih tinggi, sama ada dilaporkan secara harian atau tidak dilaporkan. Kalau kita lihat kes harian sekarang lebih 20,000, maka dalam komuniti mungkin angka sebenarnya sudah dua kali ganda daripada itu.

Kita belum tahu sama ada ia sudah sampai kemuncak jangkitan, atau bila ia akan reda. Secara keseluruhannya, kita masih dalam pandemik yang belum dikawal sepenuhnya. Itulah situasinya.

Saya tidak kata kita gagal, cuma belum berjaya. Kita sudah berusaha, namun dengan keadaan semasa serta cabaran baharu menyebabkan ia belum berjaya. Jadi kita mesti mengubah strategi dan meningkatkan perkara yang memberi kesan seperti vaksinasi.

Berita Harian X