Ahad, 8 Ogos 2021 | 2:17pm
Petugas kebersihan melakukan sanitasi pada hari pengundian awal di Balai Polis Bandar DARA Chini, bagi Pilihan Raya Kecil N.23 Chini, pada 30 Jun 2020. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Petugas kebersihan melakukan sanitasi pada hari pengundian awal di Balai Polis Bandar DARA Chini, bagi Pilihan Raya Kecil N.23 Chini, pada 30 Jun 2020. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pembersihan dan sanitasi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya, pada 26 September 2020. - Foto BERNAMA
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pembersihan dan sanitasi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya, pada 26 September 2020. - Foto BERNAMA

MAGERAN tak sesuai, hanya PRU jalan terbaik

Krisis politik berlarutan ibarat tiada kesudahan. Terkini, keabsahan mandat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dicabar.

Wartawan BH, Saiful Haizan Hasam, mendapatkan pandangan bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir dan Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, mengenai pilihan solusi bersesuaian kepada kemelut politik melanda.

Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir. - Foto NSTP
Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir. - Foto NSTP

Soalan (S): Apa pandangan mengenai kedudukan isu politik semasa dalam konteks keabsahan Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Jawapan (J): Saya rasa keadaan ini bermula daripada sedikit kesilapan oleh Speaker Dewan Rakyat dulu (Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof ) sewaktu Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk memilih Perdana Menteri baharu. Speaker tolak atas sebab-sebab 'tajuk' saja. Bagi saya ini hal politik bukannya mahkamah, namun Speaker nak buat macam mahkamah. Politik adalah the art of the possible iaitu memungkinkan sesuatu.

Dalam sesuatu yang besar seperti nak pilih Perdana Menteri, kalau dibuat sidang Dewan Rakyat itu maka soal keabsahan tidak timbul lagi sekarang kerana telah dipilih oleh Parlimen. Tetapi dengan Speaker buat macam itu, ia meletakkan politik kepada Yang di-Pertuan Agong. Pihak berkepentingan pula mencari jalan mudah membuat akuan bersumpah. Masing-masing kata orang ini dapat sekian banyak sokongan dan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam keadaan itu, Tuanku membuat keputusan, namun ekoran daripada itu, orang seolah-olah mempersoalkan apa yang berlaku. Ini kerana kita bawa Yang di-Pertuan Agong ke dalam politik yang tak sepatutnya berlaku. Kedudukan baginda adalah di atas politik. Keadaan sekarang timbul daripada itulah, orang tidak percaya Muhyiddin ada majoriti. Sekarang apabila ada pertikaian, barulah nak pergi balik ke Parlimen, sepatutnya ini dibuat dari dulu lagi.

S: Apakah wajar menilai angka sokongan ahli Parlimen semata-mata sebagai kayu pengukur keabsahaan Perdana Menteri?

J: Keadaan negara kita luar biasa. Pembentukan kerajaan selalunya dibuat parti yang menang pilihan raya dengan majoriti. Kalau majoriti tidak mencukupi, mereka akan bergabung dengan parti lain. Namun sekarang keadaan sudah cacamarba dan apa berlaku kita tak perlu cerita lagi. Ambil sana, ambil sini untuk menyelamatkan kerajaan. Dalam cara ini, manusia tidak boleh lari daripada kepentingan sendiri.

Dasar dan usaha tentang kesihatan, ekonomi dan keselamatan adalah soal lain. Semuanya tak terjejas kalau negara berdasarkan demokrasi sebenarnya. Kita tengok apa berlaku di Israel baru-baru ini, walaupun berdepan pelbagai ancaman, tetapi pemimpinnya masih 'berlaga' untuk jawatan Perdana Menteri.

Di Amerika Syarikat (AS), macam-macam berlaku sampai orang menyerang The Capitol (Parlimen), namun ekonomi negara tiada apa-apa masalah. Ini kerana, sudah ada sistem tertentu yang tegak dalam negara itu yang menjadi panduan perjalanan negara.

S: Isu keabsahan akan terus berlegar untuk tempoh lama sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlaku. Apa pandangan?

J: Saya balik kepada soal Speaker yang tidak mahu adakan sidang Dewan Rakyat untuk menentukan siapa Perdana Menteri pada waktu itu. Jika sudah ditentukan, soal ini tidak timbul lagi. Akhirnya Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menggunakan akuan bersumpah daripada pelbagai pihak untuk bentuk kerajaan.

Dalam keadaan sekarang, rakyat jadi kelam kabut. Kemudian banyak pula pihak memberi pendapat jangan berpolitik kerana sekarang kita bergelut dengan COVID-19 dan ekonomi. Tetapi bagi saya dua perkara ini jangan dikaitkan. Ia perkara berlainan daripada yang asas.

Di Parlimen sekarang, ada orang tertentu yang nak jadi Perdana Menteri interim tetapi tiada jawatan utama dalam parti. Kalau orang sebegini dilantik, akan runtuhlah negara dan orang akan memberontak nanti. Dia mesti ada keabsahannya. Mungkin seorang pemimpin kanan daripada UMNO, PKR atau parti lain.

Bagi saya jalan terbaik tetap melalui PRU. Kita boleh terima pandangan bahawa masa tidak sesuai kerana pandemik, tetapi apa salahnya kalau boleh dibuat dengan baik. Kalau tak boleh dalam masa sehari, kita buat dalam masa seminggu supaya orang yang mengundi pergi secara berperingkat dan boleh buat penjarakan fizikal. Banyak negara sampai sebulan baharu ada keputusannya. Apabila selesai soal keabsahan, soal lain akan menuruti. Barulah dunia memandang kita sebuah negara stabil dan membuat sesuatu dengan teratur dan baik.

S: Perdana Menteri mendakwa ada sokongan majoriti ahli Parlimen, begitu juga di pihak pembangkang. Apa komen?

J: Bagi saya dakwaan sokongan itu tidak ada gunanya kerana lebih penting ialah ia boleh dipastikan dengan angka di tempat yang sah iaitu Parlimen, bukan cakap-cakap macam itu. Wakil rakyat diminta angkat tangan atau undi secara sulit. Ini macam perlawanan badminton, kita kata Datuk Lee Chong Wei bagus, tetapi dia kalah. Nak pertikai apa lagi, walaupun hampir menang, dia tetap kalah. Begitu juga di Parlimen, kita pakai undi untuk menentukan secara tuntas, bukannya berpandukan dakwaan-dakwaan.

S: Kerajaan tidak stabil mengundang pelbagai risiko. Apa pandangan Tan Sri?

J: Seperti saya katakan tadi, apabila asas utama dalam negara ini ditegakkan seperti ekonomi, perundangan dan keselamatan, itu sudah mencukupi. Kita ambil contoh Thailand yang keadaan kewangannya lebih rendah daripada kita, tetapi walaupun ada kudeta, asas negara itu kuat. Jadi negara besar seperti AS, China dan Russia tidak boikot mereka. Kerana yang jaga wang negara tetap jaga wang, yang jaga kesihatan akan terus menjaga kesihatan.

Dalam hal COVID-19 umpamanya, bagi saya penting untuk pakar kesihatan yang bercakap, bukannya ahli politik. Sebabnya orang politik ini pun nak bercakap dia akan dapatkan taklimat daripada pakar kesihatan. Kadang-kadang bila orang tanya lanjut, orang politik ini sudah tak dapat nak jawab. Begitu juga dengan hal ekonomi, tanyalah Gabenor Bank Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan atau kementerian berkaitan ekonomi. Ini termasuklah ketua eksekutif di firma besar kerana di negara maju, golongan ini memainkan peranan sangat kuat melebihi kerajaan.

Jadi kita mesti bezakan. Kalau nak selesaikan hal politik, selesaikan dulu. Dalam demokrasi mesti ada pilihan raya, kalau tidak kita jadi macam China. Kita memilih demokrasi ala Westminster, buruk atau baik kita kena pergi kepada pilihan raya.

S: Apa jaminan undi percaya terhadap Perdana Menteri membawa kestabilan kepada kerajaan dan negara?

J: Politik ini macam kehidupan kita juga. Adakah awak boleh jamin bulan depan awak akan lebih baik daripada sekarang? Tidak ada. Cuma kita membuat keputusan terbaik untuk masa sekarang dan yang baik pada masa ini untuk mengatasi isu keabsahan ialah di Parlimen.

Apabila menang, keadaan jadi stabil atau tidak sudah menjadi perkara kedua. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengharungi masalah pandemik COVID-19 dan ekonomi yang tidak ada penentuan pada masa hadapan. Seperti perjalanan hidup kita yang tiada penentuan dari satu masa ke satu masa, tetapi apabila tiba pada satu peringkat, kita mesti berikhtiar sendiri untuk atasi masalah dihadapi.

Sekiranya Perdana Menteri gagal dalam undi percaya, beliau kena berhenti dan ada mekanisme pula untuk menentukan siapa yang akan jadi Perdana Menteri baharu. Mungkin Muhyiddin sendiri akan meminta Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Parlimen dibubar dan diadakan PRU, itulah cara yang paling baik.

Kita kena ingat ada 33 juta rakyat Malaysia dan setiap manusia ada kebaikan jiwa tersendiri. Inilah orangnya yang akan yang akan menentukan kebaikan untuk negara. Kalau aman orang-orang ini, maka amanlah negara. Kita juga perlu berbalik kepada diri sendiri, cukup tak makan minum kita. Kalau sudah cukup makan, apa lagi nak? Itulah keutamaan dalam kehidupan ini. Mungkin tidak mewah tetapi stabil sehingga masa akan datang kerana enam bulan atau setahun akan datang muncul pula perkara baharu.

S: Apa pandangan mengenai cadangan diwujudkan kerajaan interim sebagai penyelesaian atau Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)?

J: Saya melalui era MAGERAN walaupun belum lagi masuk dalam politik. Saya adalah penerbit di RTM, jadi saya ke sana ke sini dalam keadaan darurat. Waktu 1969 itu, Malaysia baru ada dalam sembilan juta orang. Sabah dan Sarawak baru ada satu juta. Orang tak ramai, hanya satu pertiga daripada sekarang.

Kerana kedudukan politik yang lebih kuat, jadi lebih senang bagi Tun Abdul Razak dan angkatannya menguruskan negara ini di bawah MAGERAN sehingga berlaku banyak perubahan dalam era itu. Namun keadaan sekarang tidak sesuai, kerana orang sudah cerdik pandai. Waktu MAGERAN dulu ada sebuah universiti saja, tetapi sekarang kita ada 120 institusi pendidikan tinggi (IPT). Pendapat awam juga sangat kuat sekarang, malah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) juga sudah tiada.

Dulu Ketua MAGERAN boleh bertindak secara baik, segala jentera kerajaan bersama dan dari aspek politik pun terdiri daripada parti dominan. Sekarang tiada parti dominan, kalau buat MAGERAN pasti masih dipertikaikan. Maka, lebih baik buat pilihan raya kerana jika timbul masalah pun, ia tidak seteruk masalah yang timbul daripada pemerintah yang datang dari luar proses itu.

S: Sokongan lemah terhadap kerajaan menyukarkan pentadbiran, lebih-lebih lagi dalam konteks krisis pandemik sekarang?

J: Apabila kerajaan lemah, orang akan mempertikai. Semua ahli politik ada kepentingan, mereka nak jatuhkan orang yang berkuasa kerana dia mahukan kuasa itu. Namun kalau kerajaan kuat, orang nak cakap apa pun, kerajaan boleh 'sengih' saja. Kita dapati angka mangsa COVID-19 setiap hari naik, tetapi apabila kita tengok di peringkat global, memang begitulah keadaannya. Sampai berapa lama pun kita tidak tahu kerana apabila satu varian ditangani, timbul pula varian virus COVID-19 yang lain.

Ambil mana kerajaan pun keadaannya begitu juga. Cuba kita namakan kerajaan yang kuat seperti AS, United Kingdom (UK) Jerman dan Itali, semua kena masalah ini. Kalau kita kaitkan sangat politik dengan krisis pandemik dan ekonomi tidak boleh juga. Sekiranya pemimpin politik itu dipilih dengan baik dan diterima rakyat, maka ahli politik yang memerintah akan lebih senang bertindak kerana tiada yang mengganggu di belakang dengan mempertikaikan keabsahan mereka.

S: Krisis politik tercetus ketika negara berdepan dua krisis utama iaitu pandemik dan ekonomi?

J: Cetusan krisis politik itu kadang-kadang bukan disengajakan. Ia hasil aktiviti ahli politik. Memang kerja mereka untuk bercakap dan kalau tidak bercakap pun orang tetap bertanya juga. Krisis juga adalah asam garam dalam kehidupan sekarang, malah dalam media sendiri tiada yang lebih besar melainkan hal politik seperti politik ekonomi, politik sosial, politik kesihatan dan politik pendidikan. Kalau tak ada politik, maka tak adalah dunia ini berdetik. Ia sebahagian daripada kehidupan.

Lebih mudah tangani krisis jika kerajaan kukuh

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman. - Foto NSTP
Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman. - Foto NSTP

S: Kemelut politik membawa impak kepada rakyat, komuniti dan ekonomi. Apa komen?

J: Dalam suasana 'perang' ini, kita perlu kepemimpinan yang tegas, kuat dan stabil. Segala keputusan dan timing (penetapan masa) keputusan terlampau penting kerana ia akan beri kesan secara langsung kepada sektor ekonomi, sekali gus pendapatan rakyat. Malah kebanyakan rakyat dikurung demi kepentingan umum kerana difahamkan ini penting untuk kita menang melawan wabak.

Namun. cukup mengecewakan, semua pihak melihat polemik ini berterusan. Rata-rata menzahirkan rasa cemas, bimbang dan ketidakpuasan terhadap perkembangan politik tempoh hari ketika negara dilanda kes jangkitan dan kematian tertinggi akibat wabak COVID-19.

Pada pandangan rakyat, terlalu banyak masa dan tumpuan diberikan kepada menangani kepentingan politik yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini mengakibatkan kematian yang tinggi, ekonomi merudum, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) gulung tikar dan sebagainya. Yang perlu dibicarakan adalah tentang stimulus ekonomi yang belum berkesan dan pemulihan sistem kesihatan yang sedang tenat.

S: Krisis politik tidak akan berkesudahan sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlangsung. Apa komen?

J: Ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil merasakan ini adalah perkara pokok dan paling utama untuk menangani krisis. Semua pihak seharusnya fokus kepada bagaimana untuk memenangi perang ini dengan 'korban' paling rendah.

Sekiranya ini boleh dicapai, kerajaan boleh teruskan rancangannya sehingga akhir tempoh penggal tanpa tekanan dan gangguan politik terhadap keabsahannya. Namun kalau tiada majoriti atau sering dipersoalkan, mandat baharu perlu diberikan kepada kerajaan baharu untuk menyelesaikan musibah menimpa rakyat kini (melalui PRU), secepat mungkin. Namun ini (PRU) tidak boleh dibuat ketika ini.

Jadi satu bentuk gencatan politik mesti berlaku walau apa cara pun. Nyawa dan sara hidup rakyat dipertaruhkan waktu ini. Oleh itu isu majoriti ini perlu diselesaikan segera demi negara dan rakyat.

S: Ada pihak mencadangkan proklamasi darurat dilanjutkan sebagai kaedah gencatan politik?

J: Ini satu bentuk gencatan politik yang wajar dipertimbangkan, supaya kerajaan hari ini boleh terus fokus dan teruskan rancangannya sehingga akhir tempoh penggal tanpa tekanan dan gangguan politik terhadap keabsahannya. Namun jika kerajaan hari ini tiada majoriti jelas, sudah tiba masanya mandat baharu diberikan kepada kerajaan baharu untuk menyelesaikan musibah menimpa rakyat kini secepat mungkin. Namun, ini juga mustahil kerana ia memerlukan PRU yang tidak boleh dilaksanakan ketika ini.

Malah, polemik ini juga tidak akan selesai selagi ia terus ditentukan oleh Dewan Rakyat kerana percaturan politik ini tidak akan berakhir dan persepsi rakyat, sebenarnya melihat permainan ini berpaksi kepentingan mendapatkan kuasa melangkaui kepentingan rakyat.

Hakikatnya, kepemimpinan sekarang atau yang akan datang sentiasa akan dicabar keabsahannya dan tidak ada mana-mana pemimpin dapat memimpin dengan stabil, berdasarkan konfigurasi politik sedia ada sehinggalah PRU-15 boleh dibuat. Perdana Menteri sekarang atau yang baharu juga akan terus dilanda polemik dan tekanan sama serta akan terus diganggu gugat urus tadbir negara. Kestabilan politik negara terus goyah. Oleh itu, langkah pertama adalah diadakan darurat sehinggalah PRU-15 boleh dijalankan

S: Apa pandangan mengenai cadangan diwujudkan kerajaan interim sebagai penyelesaian atau Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)?

J: MAGERAN atau kerajaan interim adalah penyelesaian yang wajar dipertimbangkan, menyusul selepas Yang di-Pertuan Agong dengan sokongan Majlis Raja-Raja, dengan nasihat kerajaan atau pun sebaliknya untuk mengisytiharkan darurat politik di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk tempoh terhad sebelum pilihan raya.

Tanpa menafikan fungsi dan kemampuan wakil rakyat kita yang terdiri ahli politik, tidak ada sesiapa dapat menafikan selepas jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), suasana politik kita tidak lagi stabil seperti dulu. Terlalu banyak masa dan tumpuan diberikan kepada menangani kepentingan politik yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Impak jelas kelihatan hari ini.

Menubuhkan MAGERAN atau jawatankuasa khas tanpa mana-mana keahlian ahli politik dan fokus pada pemulihan ekonomi serta kesihatan negara akibat pandemik, wajar dipertimbangkan. Jawatankuasa ini juga boleh menggunakan kuasa darurat untuk melakukan perubahan dan reset (set semula) sistem ekonomi, kewangan dan politik, selain sistem kesihatan dalam masa singkat dan serta-merta. Parlimen juga boleh terus memainkan peranan dan wakil rakyat boleh terus berkhidmat serta melakukan persediaan PRU-15, di samping melakukan tugas semak dan imbang buat sementara waktu.

MAGERAN atau jawatankuasa ini akan terbubar selepas tamat tempoh iaitu selepas imuniti kelompok berjaya dicapai atau apa-apa indikator baharu yang mempercepatkan pilihan raya. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih siapa yang wajar berada dalam majlis atau jawatankuasa ini.

S: Dalam konteks rakyat kini berdepan musibah dan cabaran cukup besar, apa sebenarnya harapan mereka?

J: Sejak kebelakangan ini, banyak pihak meminta kerajaan melaksanakan pelbagai reformasi atau perubahan pada sistem ekonomi dan politik melalui gerakan rakyat, gabungan masyarakat sivil, piagam, tuntutan, kajian pendapat dan kenyataan pelbagai NGO. Ini petanda dan bukti keyakinan rakyat begitu rendah terhadap institusi politik sedia ada.

Pandangan rakyat umum merasakan, nescaya lebih ramailah rakyat yang akan menjadi korban bukan saja kepada pandemik, tetapi kepada ekonomi yang sudah jatuh merudum, pekerjaan dan perusahaan serta pelaburan yang hilang, bahkan kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Ia hanya akan menambah kemarahan dan kekecewaan mereka kepada kerajaan dan politik negara. Kita perlukan kepimpinan yang bersifat negarawan. Krisis politik yang melanda sedikit sebanyak mengganggu tumpuan kerajaan untuk menangani pandemik.

S: Secara ringkas, wajarkah mencetuskan krisis politik ketika negara sudah sedia berdepan dua krisis utama kini?

J: Tidak wajar. Bagi kebanyakan rakyat, ia peluang untuk melihat wakil rakyat yang dipilih benar-benar mahu mementingkan kepentingan rakyat atau melebihkan kepentingan parti dan karier politik mereka. Kita harap, mereka dapat mementingkan negara dan rakyat buat sementara waktu. Krisis politik kita boleh diselesaikan. Yang perlu kerjasama semua adalah menangani krisis ekonomi dan kesihatan kerana belum pernah berlaku.

Kepemimpinan negara yang stabil dan kuat mesti mengarahkan hala tuju pembangunan negara kepada suatu yang lebih menjaga kepentingan rakyat. Seruan rakyat di bawah adalah supaya ahli politik daripada pihak kerajaan, pembangkang dan blok bebas bekerjasama sebagai satu pasukan dan tidak terus bercakaran sesama sendiri, serta mengganggu proses pemulihan pandemik yang masih jauh daripada reda ini.

Selagi mereka terus bercakaran sambil saling melemparkan cemuhan dan kata-kata nista satu sama lain, selagi itulah permasalahan COVID-19 ini tidak akan tuntas. Rakyat juga kini rata-rata sudah hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri. Ini dapat dipulihkan segera dengan membuktikan kepada rakyat bahawa politikus dapat membuktikan secara telus akan wujudnya kesungguhan dan kerjasama dalam membendung pandemik ini secara kolektif.

Berita Harian X