Sabtu, 7 Ogos 2021 | 3:46pm
Barisan petugas hadapan memakai pakaian perlindungan diri sebelum memasuki kawasan flat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Gugusan Semarak, Kota Damansara. NSTP/AZIAH AZMEE
Barisan petugas hadapan memakai pakaian perlindungan diri sebelum memasuki kawasan flat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Gugusan Semarak, Kota Damansara. NSTP/AZIAH AZMEE

Strategi bendung COVID-19 di landasan tepat

KUALA LUMPUR: Strategi diguna pakai bagi membendung penularan COVID-19  ketika ini dilihat berada di landasan tepat, walaupun negara mencatatkan lonjakan jumlah kes harian.

Peningkatan jumlah kes itu dilihat didorong oleh penularan varian delta, namun pada masa sama kadar vaksinasi negara mencatat angka signifikan mulai Jun lalu.

Profesor Epidemiologi, Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata ia dilihat menerusi perbandingan data keparahan penyakit dan jumlah kes.

Katanya, perbandingan itu antara lain bertujuan memastikan masyarakat dapat memahami konsep 'hidup dengan COVID-19' secara lebih berkesan tanpa bergantung kepada jumlah kes harian.

"Olahan makluman statistik harian COVID-19 berupaya menangkis salah faham yang mengaitkan lonjakan kes harian tetap berlaku walaupun kadar vaksinasi berada pada tahap tinggi.

"Kes memang naik, tetapi kita perlu tengok keparahan. Berapa ramai masuk hospital, bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan kes kematian.

"Kadar setiap perincian tidak sama, jumlah kes lebih tinggi daripada kes parah yang memerlukan alat bantuan pernafasan atau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas lonjakan kes COVID-19 di negara ini walaupun kadar vaksinasi mencatatkan peningkatan ketara selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula dilaksanakan pada 23 Februari lalu.

Sementara itu, Dr Jamalludin tidak menolak kemungkinan pendekatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengiktiraf hasil saringan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi menentukan jangkitan COVID-19, menyumbang kepada lonjakan kes harian.

Katanya, saringan RTK-Ag tidak jitu dalam menentukan jangkitan COVID-19, selain alat berkenaan akan mengesan antibodi yang wujud dalam badan individu terbabit, berbanding ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Bagaimanapun, kerajaan sudah tidak mampu menjalankan ujian RT-PCR kepada semua individu yang didapati positif bagi RTK-Ag, selain mengarahkan mereka menjalani kuarantin kendiri dan hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) jika bergejala.

"Ada kemungkinan lonjakan kes ini disumbangkan oleh keputusan RTK-Ag tetapi pada masa sama bilangan kes parah akan menentukannya dengan lebih tepat," katanya.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau berkata, indikator dan pelaksanaannya perlu dikemas kini bagi memastikan ia selari dengan situasi semasa penularan COVID-19.

Katanya, kerajaan tidak wajar bergantung kepada terminologi cenderung kepada imuniti kelompok kerana ia adalah istilah dirujuk secara retrospektif, selain wujud kekhilafan konsep epidemiologi.

"Sebaliknya, tumpukan usaha memberi vaksin kepada 80 peratus rakyat di negara ini kerana tiada negara dapat membuktikan sudah mencapai imuniti kelompok.

"Imuniti kelompok terhasil apabila penyakit itu boleh dihapuskan, selain mengelak orang ramai terlalu selesa dan selamat jika negara sudah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi kelak.

"Negara luar yang mencatat 80 peratus kadar vaksinasi pun belum dapat keluar daripada pandemik COVID-19, justeru bagaimana kita mahu nyatakan ia adalah penanda aras mencapai imuniti kelompok.

"Keadaan ini dikhuatiri membayangkan seolah-olah masyarakat sudah dilindungi dan kebal, padahal kita mungkin memerlukan suntikan penggalak seperti vaksin bagi penyakit lain.

"Penggunaan nilai ambang bagi indikator PPN perlu lebih sensitif dan bukannya kelam-kabut untuk mengemas kini kadar apabila kes melonjak. Ini adalah bagaimana kita bertoleransi dengan pandemik ini," katanya.

Dr Jamalludin berkata, kerajaan diharap memperuntukkan dana lebih bagi kesihatan dalam perangkaan bajet negara akan datang sebagai mekanisma pencegahan lebih berkesan.

Katanya, sektor kesihatan awam dan jagaan kesihatan primer perlu diperhebat bagi memastikan siasatan kes dapat dijalankan secara berkesan, selain muncul sebagai pencegahan awal penularan wabak.

"Ini boleh meminimumkan kegagalan mengesan 'epid link' yang menjurus sesuatu kes dikategorikan sebagai sporadik kerana kekurangan aspek siasatan dan gagal mengenal pasti kes indeks," katanya.

Berita Harian X