Selasa, 3 Ogos 2021 | 2:07pm

Dasar perkhidmatan penghantaran makanan digubal

ISKANDAR PUTERI: Dasar bagi mengawal selia perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di negara ini akan dibentangkan ke Kabinet, dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika ini, Kementerian Pengangkutan bersama kementerian lain sedang memuktamadkan perincian teknikal dasar berkenaan.

Beliau berkata, dasar itu antara lain memuatkan perincian mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) penunggang, had kandungan dibenarkan, selain aspek keselamatan jalan raya.

"Kabinet akan membuat keputusan berhubung dasar p-hailing selepas perincian kawal selia industri berkenaan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

"Secara prinsipnya, Kementerian Pengangkutan akan dipertanggungjawab bagi mengendalikan dasar untuk p-hailing dengan kementerian lain membantu memberi input berkaitan.

"Mesyuarat penyelarasan juga sudah dibuat antara kementerian dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebagai persediaan bagi dasar p-hailing itu dikemukakan ke Kabinet untuk kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) untuk Sektor Pengangkutan Maritim dan Logistik, di sini, hari ini.

April lalu, Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan bagi melihat kembali peraturan, sekali gus mengawal selia industri p-hailing di negara ini.

Ka Siong berbual bersama penunggang P-Hailing di Putrajaya, pada April lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ka Siong berbual bersama penunggang P-Hailing di Putrajaya, pada April lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Ka Siong dilaporkan berkata, langkah itu dibuat bagi melindungi hak dan nasib penunggang penghantar makanan p-hailing.

Sebelum ini, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dilaporkan meminta kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan masalah dihadapi penunggang p-hailing terutama berkaitan sistem bekerja, prosedur operasi standard (SOP) syarikat dan kadar upah yang diberikan.

Ahad lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pula dilaporkan berkata, dua pemain utama perkhidmatan p-hailing iaitu Food Panda Malaysia Sdn Bhd dan Grab Malaysia, diminta mengemukakan cadangan serta dasar yang komprehensif untuk dilaksanakan, dalam waktu terdekat.

Alexander berkata, ia bagi menambah baik perkhidmatan ditawarkan kepada pengguna, peniaga dan penghantar, termasuk mengkaji kadar caj lebih rendah berbanding pada masa ini.

Ka Siong pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) untuk Sektor Pengangkutan Maritim dan Logistik, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ka Siong pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) untuk Sektor Pengangkutan Maritim dan Logistik, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X