Isnin, 2 Ogos 2021 | 8:25pm

5 kluster berpunca aktiviti ziarah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kesan 11 kluster dalam kalangan komuniti iaitu lima daripadanya berpunca daripada aktiviti ziarah ketika perayaan dan kini sudah menjangkiti seramai 96 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga daripada lima kluster membabitkan aktiviti ziarah itu dikesan di Kelantan dan masing-masing satu di Johor dan Kedah.

Kluster komuniti itu daripada 29 kluster baharu yang dikesan KKM hari ini, iaitu 13 membabitkan tempat kerja, tiga dalam kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster masing-masing membabitkan aktiviti keagamaan dan institusi pendidikan.

Memperincikan mengenai kluster aktiviti ziarah, Dr Noor Hisham berkata, ia dikenali sebagai Kluster Kampung Raya Sagil yang dikesan di Tangkak, Johor yang kini sudah menjangkiti 13 individu.

"Kluster ini membabitkan individu yang menjalankan aktiviti ziarah di Kampung Melayu Raya Sagil, Tangkak sewaktu sambutan perayaan. Kes indeks bagi kluster ini ialah lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 hari ini hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 20 Julai lalu.

"Bagi Kluster Kampung Dewan Kecil ia dikesan di Machang, Kelantan yang sudah menjangkiti 10 individu. Ia membabitkan individu yang menjalankan aktiviti ziarah di Kampung Dewan Kecil, Machang sewaktu sambutan perayaan.

"Kes indeks adalah seorang wanita 68 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Julai lalu dan beliau mula mengalami gejala pada 25 Julai," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, mengenai Kluster Chabang Empat Chetok 2, ia sudah menjangkiti 18 individu dan ia juga adalah adalah kluster berulang di lokaliti yang sama.

"Kluster ini membabitkan individu yang menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan juga sambutan perayaan. Kes indeks bagi kluster ini adalah wanita berusia 32 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 30 Julai lalu hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 24 Julai.

"Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Cabang Empat Chetok, Pasir Mas," katanya.

Sementara itu, dua kluster lagi adalah Kluster Kubang Telaga di Bachok, Kelantan yang menjangkiti 16 individu serta Kluster Dah Kampung Tok di Kota Setar Kedah yang menjangkiti 39 individu.

Berita Harian X