Isnin, 2 Ogos 2021 | 3:34pm
 Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ahli Parlimen pembangkang yang lain dihalang oleh Anggota Polis di Bulatan Dato Onn selepas berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen susulan penangguhan Sidang Dewan Rakyat, Parlimen pada hari ini. - Foto Aswadi Alias
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ahli Parlimen pembangkang yang lain dihalang oleh Anggota Polis di Bulatan Dato Onn selepas berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen susulan penangguhan Sidang Dewan Rakyat, Parlimen pada hari ini. - Foto Aswadi Alias

Perhimpunan Ahli Parlimen boleh wujudkan kluster baharu

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun beramai-ramai di ibu kota, ketika negara sedang bergelut dengan penularan pandemik COVID-19, hanya akan lebih memburukkan keadaan.

Pengerusi Intelek Muda Nasional (Intelek), Mohammad Fadly Mohd Zain, berkata sikap Ahli Parlimen pembangkang yang sanggup berhimpun sehingga dilihat mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, berisiko mencetuskan kluster COVID-19 baharu.

Beliau berkata, Ahli Parlimen terbabit sebagai golongan profesional sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dan bukannya turun berhimpun demi meraih laba politik masing-masing.

"Kami sebagai NGO orang muda melihat himpunan berkenaan mencerminkan sikap penting diri sendiri. Sepatutnya, mereka ini seorang yang profesional menjadi harapan rakyat dan bukannya menunjukkan kepentingan terhadap politik.

"Mereka yang terbabit dalam himpunan itu sepatutnya berlaku matang bukan bertindak memburukkan lagi keadaan politik sekarang yang tidak stabil sehingga mencetuskan kegusaran rakyat.

"Negara sudahlah sedang bergelut dengan krisis kesihatan. Kita bimbang perhimpunan seperti itu boleh bertukar menjadi kluster COVID-19. Walaupun kebanyakan Ahli Parlimen sudah menerima vaksin sekali pun, janganlah ambil kesempatan dan keruhkan keadaan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pagi tadi, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal memasuki bangunan Parlimen.

Selepas berkumpul di Dataran Merdeka, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang, antaranya daripada parti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), dihalang menuju ke Parlimen melalui Jalan Parlimen dari Bulatan Dato Onn oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, berkata Ahli Parlimen berkenaan sepatutnya mengutamakan keselamatan diri dan nyawa berbanding politik.

"Saya berpendapat tiada masalah untuk berhimpun kalau SOP dipatuhi. Walaupun niat berhimpun itu baik, ia tak kena pada masa.

"Kalau setakat buat kenyataan, mungkin boleh buat sidang akhbar seperti biasa sahaja. Matlamatnya masih sama tetapi caranya lebih selamat dan tidak membabitkan pihak lain dalam kawasan yang terbuka, yang mungkin membahayakan," katanya.

Penganalisis politik yang juga pakar geostrategis, Dr Azmi Hassan, berpandangan strategi Ahli Parlimen pembangkang adalah untuk mempamerkan bantahan tetapi masalahnya perhimpunan itu dianjurkan secara besar-besaran dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 meskipun di tempat terbuka.

"Seharusnya bantahan dibuat bukan melalui demonstrasi di jalanan kerana mereka tahu ini adalah untuk meraih publisiti.

"Walaupun mereka memperoleh publisiti, mereka juga seharusnya menjadi Ahli Parlimen yang lebih bertanggungjawab.

"Hal politik... kita perlu berfikiran satu takuk lebih tinggi lagi kerana demonstrasi di jalanan itu tidak patut dilakukan sekarang. Itu adalah cara lama. Mereka ini perlu berhujah dengan data dan sains kenapa Parlimen tidak seharusnya ditutup. Kena ada bukti dan bukannya turun berdemonstrasi di jalanan," katanya.

Berita Harian X