Sabtu, 31 Julai 2021 | 2:52pm
GAMBAR fail petugas kaunter pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid di Dewan Majma' Kuching. - Foto BERNAMA
GAMBAR fail petugas kaunter pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid di Dewan Majma' Kuching. - Foto BERNAMA

Pemimpin politik Sarawak sambut baik lanjut darurat

KUCHING: Pemimpin parti politik di Sarawak menyambut baik pelanjutan tempoh darurat selama enam bulan di negeri ini, langkah yang dilihat perlu untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata pelanjutan perintah itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan yang sekali gus menggantung Pilihan Raya Negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan, adalah wajar kerana ia berdasarkan nasihat pakar.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata, keputusan berkenaan juga relevan jika dilihat dari situasi semasa pandemik di negeri ini dan untuk mengelak kemungkinan lonjakan kes COVID-19 sekiranya PRN diadakan sekarang.

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing. - Foto ARKIB NSTP
TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing. - Foto ARKIB NSTP

"Namun, sekiranya dalam beberapa minggu akan datang, jika kita dapat melandaikan keluk kes COVID-19 di negeri ini, maka kita boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat," katanya hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai.

Seri Paduka berpuas hati darurat besar, iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu selepas penggalnya tamat mengikut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Bagaimanapun, undang-undang itu tidak mempunyai kuasa mengikut Perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, pelanjutan itu selaras pendirian partinya yang mementingkan kesesuaian untuk mengadakan pilihan raya di Sarawak semasa pandemik COVID-19.

"Dengan (pelanjutan darurat), kerajaan hari ini perlu menggunakan tempoh ini sepenuhnya untuk melaksanakan pembaharuan dalam pilihan raya yang diperlukan untuk memastikan proses pilihan raya yang lebih selamat.

"Ia termasuk membenarkan rakyat Sarawak di luar negeri ini menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa perlu kembali ke Sarawak hanya untuk mengundi," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berharap keputusan dapat mengelakkan perkara yang berlaku semasa PRN Sabah daripada berulang, yang menyaksikan peningkatan jumlah kes COVID-19 di seluruh negara selepas itu.

Wan Junaidi. FOTO NSTP
Wan Junaidi. FOTO NSTP

Beliau berkata, keadaan di Sarawak lebih kritikal sekarang dengan kes COVID-19 varian Delta yang dilaporkan di negeri ini.

"Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) ingin kembali kepada rakyat untuk memperbaharui mandat mereka dalam pilihan raya, kami berpendapat menyelamatkan nyawa manusia dan untuk mengelakkan lebih banyak jangkitan yang boleh membawa kematian dan penderitaan perlu diberi keutamaan daripada pertimbangan lain," katanya.

GPS terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PRS dan Parti Demokratik Progresif (PDP). - BERNAMA

Berita Harian X