Sabtu, 31 Julai 2021 | 1:25pm
Rakyat Sarawak belum bersedia berhadapan pilihan raya negeri (PRN) berikutan penularan wabak COVID-19 ketika ini - Nanta. FOTO NSTP
Rakyat Sarawak belum bersedia berhadapan pilihan raya negeri (PRN) berikutan penularan wabak COVID-19 ketika ini - Nanta. FOTO NSTP

GPS sambut baik Proklamasi Darurat

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan Proklamasi Darurat dikuatkuasa di negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, Proklamasi Darurat itu wajar dilaksanakan demi keselamatan dan nyawa rakyat Sarawak yang belum bersedia berhadapan pilihan raya negeri (PRN) berikutan penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Katanya, GPS dan seluruh rakyat Sarawak berharap pandemik melanda ketika ini akan cepat pulih seiring dengan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), apabila 100 peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka menerima dos lengkap vaksin, Oktober ini.

"Diharap dengan perkembangan itu akan membolehkan banyak sekatan yang dilaksanakan, dilonggarkan dan kehidupan rakyat akan kembali pulih seperti biasa secara berperingkat.

"Yang di-Pertuan Agong juga mungkin berkenan menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal yang membolehkan PRN diadakan bagi membolehkan rakyat Sarawak melaksanakan hak mereka memilih dan memberi mandat kepada GPS untuk mentadbir kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak bermula Isnin ini hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh itu.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, baginda berpuas hati darurat besar iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu selepas penggalnya tamat mengikut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Bagaimanapun, undang-undang itu tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, GPS menaruh sepenuh keyakinan di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dalam perkara itu.

Berita Harian X