Sabtu, 31 Julai 2021 | 1:04pm
Pilihan raya DUN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal. FOTO NSTP
Pilihan raya DUN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal. FOTO NSTP

Proklamasi Darurat di Sarawak perlu untuk tangguh PRN

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak adalah perlu untuk menangguhkan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi mengelakkan penularan COVID-19 menjadi lebih serius.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan, dengan Proklamasi Darurat itu, pilihan raya DUN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

Kenyataan itu berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkannya selepas Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai lalu bersetuju menasihati Seri Paduka Baginda agar memperkenankan Proklamasi Darurat itu selepas darurat yang berkuatkuasa pada masa ini, berakhir esok.

"Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Kerajaan Sarawak, memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri itu yang mula berkuatkuasa pada 2 Ogos ini hingga 2 Februari tahun depan," kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak bermula Isnin ini hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, baginda berpuas hati darurat besar iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Sarawak, DUN itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara berkenaan akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan.

Berita Harian X