Khamis, 29 Julai 2021 | 11:47am

Proklamasi darurat, ordinan terus cetus pertikaian

KUALA LUMPUR: Sesi penerangan berkenaan pakej bantuan ekonomi yang dijadual bermula jam 10 pagi tertangguh hampir satu jam selepas ramai Ahli Parlimen pembangkang kembali membangkitkan mengenai isu Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan oleh kerajaan.

Pertikaian bertumpu kepada Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewajaran kerajaan membatalkan ordinan darurat lebih awal tanpa mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong atau dibentang ke pengetahuan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Desakan bertali arus itu dibuat Ahli Parlimen pembangkang, yang mahu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerima usul supaya isu berkenaan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta Dewan Rakyat membuat satu ketetapan segera bagi mengelak kekeliruan pelbagai pihak termasuk orang ramai.

"Proklamasi Darurat akan ditamatkan 1 Ogos. Jadi kita ingin membantu Dewan dan kerajaan.

"Kita sudah bersetuju bahawa Proklamasi Darurat hendaklah dibatalkan, kita bersetuju tetapi ada baiknya prosedur pembatalan Proklamasi Darurat dan ordinan itu kita buat mengikut proses undang-undang.

"Saya mohon sedikit masa Dewan ini bincang sedikit dan kita batalkan (ordinan), kemudian kita kemukakan kepada Yang Dipertuan Agong. Proses itu kita buat demi rakyat dan negara," katanya pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, keperluan untuk mengabsahkan pembatalan ordinan itu penting memandangkan ia terkait dengan keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, peruntukan RM5 bilion menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta kompaun yang dikeluarkan kepada rakyat.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kemudian bangun menggesa perkara sama dengan meminta Azhar membuat ketetapan berkenaan isu yang dibangkitkan ramai Ahli Parlimen.

"Kita minta satu 'ruling' mengenai 'revocation' (pembatalan), kerajaan sahaja sudah 'revoke' (batalkan), kita perlukan masa untuk itu (bahas dan putuskan).

"Apa yang penting kerana kita kena faham mengenai pengasingan kuasa.

"Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan dalam Perlembagaan. Bagi saya, sama ada pengasingan kuasa dan Dewan ini menghormati Perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Menjawab isu dibangkitkan ramai Ahli Parlimen pembangkang itu, Azhar kekal dengan keputusan awalnya bahawa isu Proklamasi Darurat dan ordinan akan dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dijadualkan Isnin depan.

Isnin lalu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau turut memaklumkan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, enam ordinan dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai lalu.

Penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) berada di perkarangan Dewan Rakyat bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, hari ini.- Foto BERNAMA
Penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) berada di perkarangan Dewan Rakyat bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, hari ini.- Foto BERNAMA
Berita Harian X