Rabu, 28 Julai 2021 | 11:53am
Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen. - Foto BERNAMA
Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen. - Foto BERNAMA

Penarikan balik perlu usul di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Penarikan balik Ordinan Darurat adalah termaktub di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang prosesnya memerlukan ia melalui satu usul di Dewan Rakyat bagi membatalkan ordinan berkenaan.

Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, berkata proses itu bagaimanapun tidak terpakai jika Yang di-Pertuan Agong seawalnya menarik balik serta membatalkan ordinan itu selepas menerima nasihat kuasa eksekutif.

"Polemik sama ada kuasa eksekutif boleh menarik balik ordinan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah persoalan undang-undang yang tidak nyata, tetapi berpaksikan kepada prinsip bahawa Tuanku yang telah meluluskan ordinan ketika darurat, maka baginda yang selayaknya menarik balik ordinan itu," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas langkah kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos ini.

Pada mesyuarat khas Dewan Rakyat kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh darurat dibatalkan.

Berkuat kuasa 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka juga memasyhurkan tiga ordinan iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Menjelaskan lebih lanjut, Salim berkata, Ordinan Darurat juga akan terbatal dengan sendirinya selepas enam bulan tamatnya darurat seperti termaktub dalam Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai pengumuman Takiyuddin itu, beliau menjelaskan, pengumuman menteri dalam penarikan balik ordinan itu mewujudkan persoalan mengenai kesahihan penarikan balik itu sendiri oleh kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan.

Katanya, ia turut mengundang persoalan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberikan perkenan atau sebaliknya berhubung perkara itu.

Sementara itu, bekas Menteri Undang-Undang, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pengumuman pembatalan Proklamasi Darurat di Dewan Rakyat semalam nampak pelik kerana ia tidak mengikut amalan dan proses yang sepatutnya.

Katanya, mengikut amalan, sesuatu keputusan untuk pembatalan darurat perlu dipersembahkan terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong dan jika diperkenankan baru diumumkan.

"Apa yang berlaku tidak menyalahi undang-undang, tetapi nampak sedikit pelik kerana apa yang diputuskan Kabinet sewajarnya diumumkan dahulu sebelum ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Soalnya sekarang kita tidak tahu sama ada ia sudah dipersembahkan atau tidak, tetapi ia sudah dimaklumkan di Dewan Rakyat," katanya.

Berita Harian X