Isnin, 26 Julai 2021 | 8:53pm
Tugas Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan media mengenai Task Force Operasi Pematuhan SOP PKP, akan diambil alih Hishammuddin, esok. FOTO NSTP
Tugas Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan media mengenai Task Force Operasi Pematuhan SOP PKP, akan diambil alih Hishammuddin, esok. FOTO NSTP

Hishammuddin ambil alih tugas Ismail Sabri esok

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengambil alih tugas mengeluarkan kenyataan media harian Task Force Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai esok.

Ia termasuk menjelaskan pelbagai maklumat mengenai penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) khususnya menangnai COVID-19 di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sejak 20 Mac 2020, beliau memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) yang antara lain turut mengeluarkan kenyataan media harian berkaitan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang mengawal penularan COVID-19.

"Seperti yang semua maklum, Hishammuddin sudah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) apabila saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan COVID-19.

l

"Sehubungan itu, mulai esok, 27 Julai 2021, tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta SOP PKP akan diteruskan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sepanjang satu tahun, empat bulan dan enam hari, beliau setiap hari menerima serta mengumumkan laporan mengenai pematuhan SOP, kawalan sempadan dan memberi penjelasan kepada rakyat situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam Task Force Operasi Pematuhan.

Berita Harian X